Berita

KPDN berjaya tumpaskan sindiket seleweng minyak diesel bersubsidi

- Diterbit 13 Mei 2024 7:29 PM MYT

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berjaya menumpaskan sindiket penyelewengan minyak diesel bersubsidi menerusi OPS TIRIS 3.0 dalam satu serbuan yang dilakukan di sebuah stesen minyak di Kawasan Perindustrian Klebang Bestari,
Chemor, Perak pada 11 Mei yang lalu.

Ketua Pengarah Penguatkuasa KPDN, Datuk Azman Adam dalam satu kenyataan memaklumkan serbuan dilakukan oleh sepasukan anggota penguat kuasa daripada KPDN Putrajaya yang bermula kira-kira pukul 10 malam itu adalah hasil aduan orang awam dan hasil risikan yang telah dilakukan oleh pihak KPDN sebelum operasi dilaksanakan.

“Hasil maklumat awal yang diperolehi, modus operandi sindiket ini adalah menggunakan lori yang diubahsuai dengan tangki tambahan dan mengisi minyak diesel di beberapa buah stesen minyak sebelum minyak diesel tersebut dikumpulkan dan diedarkan di pasaran gelap.

“Menyedari kehadiran pihak berkuasa KPDN, salah sebuah daripada duabuah lori yang sedang dipantau telah berjaya dilarikan dalam keadaan merbahaya manakala seorang pemandu bagi sebuah lagi lori telah bertindak melarikan diri meninggalkan lori dalam keadaan enjin masih dihidupkan.

“Hasil pemeriksaan lanjut ke atas keseluruhan lori itu, pasukan serbuan telah menemukan minyak diesel dengan kuantiti keseluruhan berjumlah 2,550 liter serta beberapa peralatan lain yang digunakan untuk kegiatan penyelewengan minyak diesel,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azman berkata sebuah lori, tiga buah tangki jenis Intermediate Bulk Container (IBC) yang mengandungi minyak diesel, hos paip, motor pam dan beberapa dokumen berkaitan serta peralatan-peralatan lain yang ditemui dalam lori tersebut.

“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM19,492.50 dan kesemua barangan tersebut telah disita.

“Kertas siasatan telah dibuka dan siasatan lanjut ke atas kes ini sedang dilakukan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122] bagi mengenalpasti individu/syarikat yang terlibat dalam aktiviti ini serta rantaian pengedaran minyak diesel tersebut termasuk sumber minyak diesel ini diperolehi dan diedarkan,” katanya.

Azman berkata pihaknya akan giat melaksanakan pemantauan yang berterusan termasuk bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan lain untuk mengesan sebuah lagi lori yang berjaya dilarikan itu untuk memastikan aktiviti sindiket ini dapat dilumpuhkan sepenuhnya.

Sehubungan itu, Azman ingin memberi amaran keras ke atas mana-mana individu/syarikat yang berkaitan agar sentiasa mematuhi perundangan yang telah ditetapkan.

“Mana-mana orang yang melakukan kesalahan boleh diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122] dan jika disabitkan boleh didenda tidak lebih RM1 juta manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3 juta bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

“Manakala bagi syarikat sekiranya sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2 juta manakala bagi
kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta.

Kata Azman lagi, syarikat ini juga akan disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) [Akta 613].

“Ia merupakan kesalahan pengubahan wang haram bagi tujuan mengesan, membeku, menyita serta sehingga ke peringkat perlucutan hak ke atas apa-apa hasil pendapatan atau harta yang dijana daripada aktiviti haram penyelewengan berkaitan minyak diesel.

“Jika disabitkan dengan kesalahan di bawah Akta 613 ini boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 15 tahun dan juga boleh didenda
tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau lima juta ringgit yang mana yang lebih tinggi” katanya.

Dalam pada itu, Azman mengingatkan kepada orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung aktiviti penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi boleh menyalurkan aduan yang lengkap dan tepat kepada pihak Kementerian melalui saluran berikut.

“WhatsApp 019-848 8000 / 019-279 4317; Portal e-Aduan KPDN iaitu http://eaduan.kpdn.gov.my; Call Centre 1-800-886-800; dan
Aplikasi Telefon Pintar Ez ADU KPDN,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas