SERUAN Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mempercepatkan langkah pembinaan neksus kecerdasan buatan (AI) adalah bertepatan pada masanya memandangkan saat ini, tiada atau usahanya masih amat kurang di Malaysia, kata pakar ekonomi Geoffrey Williams.
Ekosistem tersebut adalah penting untuk memastikan Malaysia mampu memupuk tenaga kerja AI yang mencukupi selain merangsang pertumbuhan ekonomi secara berkesan pada masa hadapan.
Williams menjelaskan penyelidikan dari Malaysia mengenai pembangunan aplikasi AI berkemungkinan sangat kecil.
Walaupun terdapat pengumuman bahawa kerajaan akan mengkaji untuk menubuhkan politeknik AI pertama di negara ini, kebanyakan universiti di sini masih belum mempunyai AI sebagai sebahagian daripada program dan penyelidikan mereka kecuali mungkin dalam modul khusus di bawah jabatan teknologi maklumat (IT) mereka, katanya.
“Hanya terdapat aktiviti ad hoc dalam AI pada tahap yang agak rendah atau peringkat awal yang dijalankan di universiti-universiti Malaysia. Penyelidikan masih amat kurang selain sangat sedikit pengajaran dan tiada percubaan penting untuk melihat potensi kesan ekonomi,” katanya kepada Bernama.
Justeru, beliau mencadangkan universiti tempatan mula mengguna pakai AI dengan mengutamakan latihan dalam kalangan ahli akademik, pada masa yang sama cuba menyepadukan AI ke dalam kurikulum universiti, yang akan membantu membina ekosistem yang sangat diperlukan bagi AI untuk berjaya.
“Untuk menyepadukan AI ke dalam kurikulum, ahli akademik sendiri mesti mahir dalam AI dan ketika ini mereka tidak mempunyai kemampuan itu. Terdapat banyak peluang menggunakan AI bagi tujuan pembangunan kursus dan penciptaan kandungan serta untuk penyelidikan tetapi ahli akademik tidak memulakan proses ini,” katanya lagi.
Terdapat banyak faktor yang mempengaruhi tetapi antara yang penting adalah seperti peraturan yang melambatkan penciptaan program baharu serta kekurangan kesedaran dan latihan dalam AI di kalangan ahli akademik sendiri, katanya.
Williams juga menekankan bahawa kerajaan mesti menjalankan secara menyeluruh penyelidikan untuk mewujudkan dasar bagi menangani kesan AI supaya orang ramai mendapat faedah daripadanya.
Selain membuat gesaan untuk mempercepatkan perhubungan AI di negara ini, Anwar, yang juga Menteri Kewangan telah melancarkan Pelan Hala Tuju Bakat AI 2024-2030 serta Fakulti Kepintaran Buatan (FAI) dan Konsortium Kecerdasan Buatan Malaysia (MAIC) pada Jumaat lepas.
Beliau berkata tadbir urus ekosistem AI perlu sistematik termasuk mempunyai profesional serta bakat yang berkemahiran dengan AI yang bekerja dengan syarikat multinasional (MNC) dan MAIC yang mengejar pertumbuhan AI. – BERNAMA