Berita

Istana Budaya bakal anjur 3 program utama

- Diterbit 29 Februari 2024 11:56 AM MYT

ISTANA Budaya dengan tiga produk utamanya iaitu Orkestra Tradisional Malaysia (OTM), Orkestra Simfoni Kebangsaan (OSK) dan Artis Tari Istana Budaya (ARTISTANA) akan tetap meneruskan siri jelajah Kempen Gerak ke beberapa tempat bagi membangunkan kecemerlangan artistik dalam seni persembahan bertaraf dunia.

Ketua Pengarah Istana Budaya, Zubaidah Mukhtar berkata sebagai fasiliti seni persembahan bertaraf dunia, Istana Budaya tetap akan mengorak langkah mendepani tahun 2024 ini walaupun proses menaik taraf bangunan panggung Istana Budaya sedikit sebanyak memberi kesan kepada kelangsungan program-program sedia ada.

“Meskipun salah satu fungsi Istana Budaya sebagai venue provider ditangguhkan sementara, namun Istana Budaya tetap akan menganjurkan tiga buah program utama tahun 2024 untuk dipersembahkan kepada masyarakat iaitu Program Jangkauan OTM: Sounds of Malaysia, Lambang Sari Series dan Teater Muzikal Puteri Hang Li Po.

“Ini merupakan peluang terbaik Istana Budaya bagi membawa persembahan bertaraf dunia ini dekat dengan masyarakat dan antara lokasinya adalah di Melaka seiring dengan Tahun Melawat Melaka 2024, sekali gus merancakkan lagi sektor pelancongan dan kebudayaan Malaysia,” ujarnya dalam Majlis Peluncuran Program Istana Budaya 2024 dan Buku Rekaan Kostum yang diadakan di Balai Seni Negara hari ini.

Zubaidah berkata teater Muzikal Puteri Hang Li Po kembali dihidupkan dengan nafas baru oleh Istana Budaya dengan mengimbau salah satu sejarah kegemilangan zaman Kesultanan Melayu Melaka yang pernah dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya pada tahun 2004 yang lalu.

“Signifikasi pementasan ini juga adalah bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-50 Hubungan Diplomatik antara Malaysia dan Republik Rakyat China yang akan dipentaskan secara ekslusif di pentas Encore Melaka.

“Istana Budaya turut berbesar hati mengumumkan penerbitan dua (2) buku rekaan kostum iaitu Teater Muzikal Hang Li Po & Muzikal Cheng Lock dan Teater Kanak- Kanak Muzikal Ali Baba & Muzikal Sinbad.

“Buku rekaan kostum ini merupakan penerbitan ilmiah dalam memberi pendedahan tentang proses rekaan dan penyediaan kostum yang digunakan dalam persembahan terbitan Istana Budaya,” katanya.

Memetik kejayaan tahun lalu, Zubaidah berkata Istana Budaya telah berjaya memperoleh nilai publisiti media lebih RM750 juta buat keseluruhan penglibatan Istana Budaya sepanjang tahun 2023 termasuklah segala bentuk pementasan di Istana Budaya, program anjuran Istana Budaya dan program kerjasama dengan MOTAC serta jabatan/agensi/insitusi di bawah Kerajaan.

Terdahulu Majlis Peluncuran Program Istana Budaya 2024 dan Buku Rekaan Kostum telah disempurnakan dan dirasmikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Mohd Yusri Mohd Yusoff.

Turut hadir Pengarang bagi kedua-dua buku rekaan kostum, Badrul Zaman Abdul Jalil. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas