Berita

Zaliha arah DBKL kaji impak perkhidmatan MySchoolBus@Wilayah

- Diterbit 7 Mac 2024 1:22 PM MYT

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa meminta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melaksanakan satu kajian terhadap impak pelaksanaan perkhidmatan MyschoolBus@Wilayah yang memanfaatkan  pelajar-pelajar sekolah di Kuala Lumpur.

Beliau berkata kajian impak pelaksanaan itu wajar dilaksana bagi membolehkan kadar jumlah pengguna perkhidmatan bas tersebut diketahui.

“Sebelum ini, mungkin jumlah pelajar yang menggunakan perkhidmatan bas sebanyak 80 peratus tapi bila adanya program sebegini, ia meningkat hampir 100 peratus.

“Ini kita perlu ada supaya ia boleh menjadi penanda aras bahawa program seperti ini wajar diteruskan,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Pelekat Korporat MySchoolBus@Wilayah di Dewan Perdana Mustika, Institut Latihan DBKL, petang tadi.

Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan, Datuk Indera Norida Abdul Rahim dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Sr Kamarulzaman Mat Salleh.

Dalam ucapannya, Zaliha turut mengucapkan tahniah kepada DBKL kerana merealisasikan program tersebut sekali gus memberi signal kepada warga kota berhubung usaha kerajaan dalam membantu meringankan beban mereka.

Katanya, DBKL merupakan pihak berkuasa tempatan (PBT) tunggal yang menjalankan perkhidmatan bas sekolah percuma kepada pelajar-pelajar sekolah dari tahun 2017 sehingga kini.

“Pelaksanaan ini telah menjadi agenda nasional dan beberapa negeri lain sudah mula menyediakan perkhidmatan yang hampir sama dengan kita seperti di Terengganu, Selangor dan Kedah,” katanya.

Zaliha menjelaskan, Inisiatif MySchoolBus@Wilayah ini merupakan program bas sekolah percuma yang telah diperkenalkan sejak tahun 2017 dan memanfaatkan golongan B40 dan M40 di bawah pendapatan garis kemiskinan sebanyak RM5,886.00.

“Saya ingin kongsikan satu laporan yang dikeluarkan oleh UNICEF Malaysia pada tahun 2020 yang mengesahkan bahawa faktor kemiskinan menyebabkan banyak peluang kanak-kanak untuk mendapatkan pendidikan tersekat.

“Kajian tersebut memperincikan bahawa perkara yang paling terkesan bagi sebuah keluarga miskin bandar dan berpendapatan rendah adalah perbelanjaan pendidikan untuk anak.

“Akhirnya, anak ini tidak mendapat peluang untuk menerima pendidikan yang sama rata seperti rakan sebaya mereka daripada kalangan keluarga yang lebih berada.

“Justeru itu, dengan adanya bantuan MySchoolBus@Wilayah ini,  kerajaan memberikan perkhidmatan pengangkutan secara percuma kepada anak-anak agar mereka dapat meneruskan pengajian dan pembelajaran di sekolah,” jelas beliau.  – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas