KEMENTERIAN Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) percaya penggunaan teknologi nuklear boleh digunakan secara meluas dalam pelbagai sektor bagi mempertingkatkan taraf kehidupan rakyat.
Ketua Setiausaha MOSTI, Datuk Dr Aminuddin Hassim berkata pelbagai penyelidikan dan pembangunan (R&D) telah dijalankan bagi memastikan penggunaan teknologi nuklear secara selamat dapat diaplikasikan.
“Persepsi nuklear itu bahaya tidak benar, ia bergantung kepada sektor dan penggunaan kerana teknologi nuklear yang kita hasilkan adalah untuk tujuan yang aman, sesuai bagi kegunaan seharian rakyat seperti perubatan dan pertanian.
“Kita boleh aplikasikan penggunaan teknologi nuklear untuk menyelesaikan masalah. Misalnya, penyelidik MOSTI terlibat aktif dalam usaha menyelesaikan isu berkaitan keterjaminan makanan,” katanya selepas merasmikan Program Promosi Bersasar MOSTI di sini hari ini.
Beliau berkata persepsi negatif yang menganggap teknologi nuklear berbahaya oleh segelintir masyarakat perlu diubah, selari dengan pelaksanaan Dasar Teknologi Nuklear Negara (DTNN) 2030 yang diperkenalkan September tahun lepas.
“MOSTI ada 21 pusat khidmat menawarkan penyelesaian masalah melalui penggunaan teknologi nuklear selamat. Bagi mempromosikan perkhidmatan ini, kita menjalankan program khidmat santun mengikut zon untuk berhubung dengan pengguna melalui slogan ‘NUR’ iaitu Nuklear Untuk Rakyat.
“Kita tahu subjek seperti ini tidak berapa menarik buat majoriti masyarakat, ia sukar difahami, namun kita berharap inisiatif ini dapat bantu kita sampaikan maklumat kepada orang ramai,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pengarah Agensi Nuklear Malaysia Dr Rosli Darmawan ketika menyampaikan ucapan aluan pada majlis itu berkata pihaknya telah melakukan pelbagai kajian bagi mengaplikasikan teknologi nuklear merentasi pelbagai bidang termasuk keselamatan, alam sekitar, industri dan pembuatan.
“Kita telah diamanahkan dengan tanggungjawab mempromosikan bidang ini kepada masyarakat sekali gus menyemai minat awam tentang kepentingan teknologi nuklear dalam kehidupan,” katanya. – BERNAMA