PENGORBANAN Allahyarham Gilian bergadai nyawa demi menyelamatkan tujuh keluarga dalam kebakaran di perumahan teras Merinding Garden, Labuan baru-baru ini sentiasa dihargai.
Kejadian yang meruntun hati itu turut mendapat perhatian daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa.
Sejurus tiba di Labuan bagi lawatan kerja rasminya, beliau turut meluangkan masa bagi menyantuni isteri mangsa dikediamannya dan menghulurkan sumbangan wang tunai bagi meringankan beban keluarga.
Hadir sama, Timbalan Pengerusi Perbadanan Labuan, Simsudin Sidek dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Rithuan Mohd Ismail.
Terdahulu, pada Januari lalu , sekitar pukul empat pagi, Allahyarham Gillian Donald tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia susulan sesak nafas sejurus membantu membawa keluar tujuh sekeluarga dalam satu kebakaran.
Isteri mangsa, Siti Juanna Mahrop, 39, tabah menerima takdir pemergian suaminya. Dia kini mengambil tanggungjawab menjaga tiga orang cahaya mata, Van Malik Gillian, 15, Narsha Hara Gillian, 13 dan Rizqi Ali Gillian, 4 tahun. – WILAYAHKU