PENYANYI legenda Datuk Jamal Abdillah, mengaku pengundurannya daripada menyertai pertandingan Anugerah Juara Lagu ke-38 (AJL38), tidak lain tidak bukan adalah demi kebajikan artis-artis muda.
Jamal,65, ketika dihubungi Wilayahku berkata, beliau mengaku ralat dengan penganjur yang menjual tiket dan mendapat tajaan besar tetapi tiada penghargaan buat artis yang menyertai pertandingan berprestij itu.
“Mungkin artis-artis muda ni, mereka perlukan publisiti atau pendedahan dalam bidang seni kerana mereka masih muda.
“Apabila menyentuh soal menyertai pertandingan ini, tak kiralah dibayar atau tidak, mereka perlu sertai juga atas nama syarikat rakaman.
“Sekiranya syarikat itu mempunyai peruntukan untuk mereka, baguslah macam tu. Tapi apa yang boleh saya katakan, pihak stesen TV3 yang menganjurkan rancangan ini dari tahun 1983/1984 saya pun sertai, memang tak dibayar pun.
“Ia lebih kepada kita hendak mempertandingkan lagu kita sendiri, jadi mereka tak perlu bayar kita. Ketika itu okaylah, saya baru nak popular, mahu dikenali ramai dan mencari publisiti.
“Tapi untuk saya sekarang, publisiti tak perlu dicari lagi. Saya pun dah senior dalam bidang ini. Jadi apa yang saya fikirkan, apa yang berlaku kepada saya tu, janganlah berlaku kepada generasi yang akan datang sehingga ia berlarutan sampai bila-bila.
“Sedangkan mereka mengaut keuntungan dengan penaja-penaja. Sebenarnya penjualan tiket itu membuatkan saya rasa ralat, tak bolehlah macam ni.
“Penonton yang nak menonton kena beli tiket dengan harga tertentu. Dari situ saja kalau kita kira kapasiti stadium, ramai yang boleh masuk. Jadi apa salahnya kalau berbahagi dengan artis,” katanya.
Dalam pada itu, penyanyi lagu Kekasih Awal Dan Akhir ini juga akui berani bersuara kerana memikirkan kebajikan artis-artis muda.
Bagi Jamal, beliau tidak kisah sekiranya diboikot oleh penganjur kerana bersuara demi kebaikan artis.
“Artis-artis muda ni mereka risau, sekiranya mereka bersuara, mereka akan ‘disenaraihitam’. Kalau nak cakap saya, memang dah banyak kali pengalaman kena banned.
“Jadi saya perjuangkanlah, saya pertaruhkanlah ‘nyawa’ (kerjaya nyanyian) saya menyuarakan perkara ini, demi kebajikan artis-artis muda.
“Saya yakin bahawa rezeki bukan pada TV3 sahaja. Allah yang menentukan rezeki saya,” jelasnya.
Jamal juga menjelaskan, sepatutnya perlu ada situasi menang-menang agar semua berpuas hati.
“Di sebalik semua ini, ketidakpuashatian itu ada. Nanti berkemungkinan boleh timbullah provokasi, pergaduhan, pertengkaran, jadi tak seronoklah.
“Sepatutnya biarlah win-win situation. Syarikat rakaman boleh beri pendedakan kepada artis mereka. Artis juga dapat rezeki daripada situ dan pihak produksi dapat keuntungan. Jadi semua dapat manfaat. Itu yang lebih penting bagi rezeki,” ujarnya.
Apabila ditanya tentang hubungannya dengan stesen televisyen TV3, Jamal berkata beliau sudah biasa dengan situasi sebegitu kerana suka berterus terang.
Jamal akui tidak risau dan perjuangannya adalah demi anak-anak seni.
“Saya dengan siapa pun saya begini. Inilah cara saya. Kalau tak puas hati saya akan cakap terus terang.
“Sekiranya saya nak dikenakan banned, saya terima. Saya memang dah beberapa kali ada pengalaman kena banned.
“Macam saya cakap tadi, rezeki saya bukan hanya di TV3. Allah yang tentukan. Saya tak risau pasal tu,” tambahnya.
Bagi Jamal, jika situasi ini dapat diubah pada masa akan datang, ia memberi kesan positif kepada industri seni tanah air.
“Seharusnya mereka (stesen TV) perlu memikirkan soal penggiat seni. Content (dalam program) memerlukan talent atau artis. Kalau tak jaga mereka dengan betul, ia takkan berkembang. Jadi mereka hanya dapat populariti.
“Sepatutnya cara menghargai artis itu, baru bayaran yang betul, mereka akan menaikkan lagi prestasi bakat mereka. Ini sekaligus memperkembangkan lagi industri hiburan tanah air.
“Saya harapkan pengganti saya, Afieq Shazwan, dia bagus. Dia boleh buat lebih baik daripada saya lagi dalam membawakan lagi KuCuma untuk AJL38 nanti. Kepada Wany, saya ucapkan semoga berjaya dan tabah hadapi semua ini,” katanya mengakhiri perbualan. – WILAYAHKU