Selebriti

Zara Zya sudah lali

- Diterbit 9 Februari 2024 3:32 PM MYT

PELAKON Zara Zya, 38, mengakui sudah lali dan tidak sesekali berasa tertekan apabila sering diaju soalan bila akan menamatkan zaman bujang kerana baginya itu adalah lumrah kehidupan bagi mereka yang belum bertemu jodoh.

“Persoalan sebegini biasa ditambah pula saya seorang selebriti. Kadang-kadang netizen juga gemar menjodohkan saya dengan orang yang dia suka. Tak apalah asalkan mereka sentiasa menyokong dan mendoakan yang baik-baik buat saya.

“Saya hargai cinta mereka kepada saya. Merekalah yang sokong kerjaya saya dari dulu sampai sekarang. Kalau mereka nak jodohkan saya dengan siapa-siapa, saya tak kisah kerana itu juga doa,” katanya.

Biarpun sering melihat ramai yang masih bujang mengeluh soal jodoh dalam media sosial, bagi pelakon Love You Mr. Arrogant ini, mereka berhak meluahkan apa yang dirasa.

“Setiap orang ada cara tersendiri untuk menzahirkan apa yang mereka rasakan. Bagi saya, selagi tidak melampau atau berlebih-lebih, rasanya tak ada masalah luahkan apa yang terpendam dalam hati.

“Mungkin sesetengah orang tertekan apabila sering diajukan soalan tentang jodoh, tapi saya tidak. Itu lumrah sebagai orang bujang. Apabila ramai bertanya, itu juga tanda ramai yang sayangkan kita.

“Kita berkahwin bukan sebab umur dah semakin meningkat atau kawan-kawan sebaya dah ada ramai anak. Bukan juga kita nak kahwin tu sebab rimas dengan soalan pasal kahwin,” ujarnya yang tidak menolak untuk berkongsi khabar gembira jika berkahwin kelak.

Terbaharu, Zara sering dikaitkan bercinta dengan usahawan kosmetik Datuk Alha Alfa apabila mereka dilihat sering bersama dalam sebarang acara mahupun di media sosial.

“Soalan ini sering diajukan kepada saya. Sejujurnya apa yang saya boleh cakap, kami adalah kawan best friend forever dan banyak lalui susah senang bersama. Mungkin ramai ingat kami bercinta jujurnya hanya sahabat.

“Saya melihat Alha dari awal bisnes dia bermula. Begitu juga dia melihat jatuh bangun saya dalam dunia seni. Kalau nak kata kami bercinta tu, dalam lagu Cinta Agung sajalah,” selorohnya.

Menyentuh pengalamannya merakamkan lagu Cinta Agung duet bersama Alha, ia bukan sesuatu yang mudah kerana mereka perlu serius sedangkan mereka sudah biasa tergelak apabila bersama.

“Pengalaman berduet dengan rakan baik mencabar jugalah sebab masa shooting muzik video kami kena serius sambil pandang muka masing-masing. Macam mana nak serius sedangkan dia adalah sahabat yang selalu buat saya ketawa besar,” ujarnya Cinta Agung membawa maksud menyeluruh. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas