Berita

Dedah isu artis guna bahan terlarang, Che Ta didesak padam video di Instagram

- Diterbit 8 Februari 2024 9:21 PM MYT

PELAKON dan usahawan popular, Rozita Che Wan atau Che Ta  akur memenuhi gesaan wakil sebuah syarikat untuk  memadamkan  hantaran dibuat disebabkan enggan memanjangkan satu isu.

Ini adalah susulan pendedahan Che Ta mengenai seorang artis yang mengambil bahan terlarang dalam sebuah video dalam Instagramnya.

“Selepas berkongsi video amaran meminta pelakon baharu berwaspada dengan pujukan seorang aktres mencuba bahan terlarang, saya dihubungi pihak tertentu.

“Rupa-rupanya ada yang terasa dan minta wakilnya menggesa saya memadam hantaran berkenaan, sedangkan saya tidak menyebut nama sesiapa.

“Apa pun saya turuti saja permintaan (padam), bukan takut sebaliknya sebab saya didesak,” katanya selepas sidang media Lip Lap Lip Lap Ramadan 2024 Hotel Tenera Bangi, hari ini.

DARI kiri: Pengerusi Lembaga Pengarah KPF Hotel Management (Hotel Tenera), Pengerusi FELDA, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, Pengurus Besar Hotel Tenera, Fadzly Hamzah dan Wajah Bufet Ramadan Hotel Tenera 2024, Rozita Che Wan.

SIDANG media Bufet Ramadan Hotel Tenera 2024 bertemakan Lip Lap Lip Lap Ramadan

Pelakon dan usahawan itu berkata, tujuan asal membangkitkan hal yang tular hanya mahu memperingatkan bakat muda agar jangan terpedaya dengan pujukan individu dimaksudkan.

Ujarnya, dia enggan masuk campur  urusan peribadi selebriti senior terbabit, tetapi terpaksa bersuara selepas kasihan dengan mangsa.

“Saya didatangi pelakon muda itu buat kali kedua dan tergerak menyuarakan masalah yang dicetuskan individu sama agar semua bakat baharu berjaga-jaga.

“Harap jangan terjerumus dengan perkara negatif, itu saja. Soal dia nak menggunakan bahan terlarang, itu pilihannya, jangan pengaruhi orang lain,” ujarnya.

CHE Ta diumumkan sebagai Wajah Bufet Ramadan Hotel Tenera 2024 dengan Lip Lap Lip Lap Ramadan.

Beberapa hari lalu pelakon Kiah Pekasam itu menyelar tindakan seorang individu popular yang dilihat cuba menjerat bakat baharu agar mencuba bahan terlarang bersamanya. – WILAYAHKU

 

 

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas