KAKAK ipar kepada lelaki dikenali sebagai Aslam yang dikaitkan dengan Marissa Dania Hakim mengesahkan adik iparnya sudah berkahwin dengan pempengaruh media sosial itu di Songkla, Thailand, pada Disember lalu.
Memetik laporan sebuah portal, wanita dikenali sebagai Nadiah Mazlan itu mendedahkan secara ringkas, laporan media mengenai berita pernikahan itu adalah tepat.
“Ya betul (Marissa dan Aslam) nikah di Thailand. Cerita sama macam apa yang dihebahkan,” katanya ringkas.
Terdahulu, Marissa, dan Aslam yang masih berstatus suami dan bapa kepada dua cahaya mata itu dikatakan melangsungkan pernikahan ketika isterinya, Misya Mazlan sedang menunaikan umrah.
Pada September lalu kecoh dalam media sosial apabila Misya tampil membongkar dakwaan kisah kecurangan suaminya dengan Marissa.
Misya menerusi satu hantaran di media sosial sebelum ini mendedahkan Marissa didakwa menjadi penyebab utama dirinya diceraikan suaminya. – WILAYAHKU