Berita

Henti segala andaian, sangkaan buruk terhadap saya – Isteri Taib Mahmud

- Diterbit 6 Februari 2024 11:58 AM MYT

ISTERI kepada bekas Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Toh Puan Raghad Kurdi Taib meminta semua pihak menghentikan segala andaian dan sangkaan buruk terhadapnya.

Beliau dalam satu kenyataan berkata, beliau sedar sejak beberapa hari lalu mengenai insiden suaminya, Tun Abdul Taib Mahmud, dibawa keluar dari sebuah hospital pakar yang tersebar sejak di media sosial beberapa haru lalu.

“Kebimbangan saya pada ketika ini adalah kesejahteraan suami saya, Tun Taib.

“Saya dengan rendah hati memohon menghentikan semua andaian dan tuduhan jahat ini terhadap saya kerana keutamaan saya hanya untuk menjaga suami saya pada ketika ini,” katanya.

Raghad juga merayu agar orang ramai tidak percaya dengan sebarang khabar angin yang diperkatakan tentang dirinya akan melarikan diri.

“Walaupun saya adalah orang asing, namun kini saya ialah rakyat Malaysia dan akan sentiasa menjadi rakyat Malaysia.

“Saya tidak akan meninggalkan negara ini dan akan meneruskan kerja-kerja amal saya kepada rakyat Sarawak selepas Tun Taib memperoleh kesihatannya kembali, Insya-Allah,” ujarnya.

Raghad turut memohon orang ramai khususnya rakyat Sarawak mendoakan agar Tun Taib kembali sihat. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas