SAMBUTAN Hari Wilayah Persekutuan (SHWP) 2024 membuka tirainya menerusi aktiviti Berjalan Sihat@Putrajaya pada pagi ini.
Memetik kenyataan Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP), SHWP 2024 pada tahun ini turut meraikan ulang tahun penubuhan Wilayah Persekutuan yang ke-50 sejak penubuhannya pada 1 Februari 1974.
“Program-program Hari Wilayah Persekutuan 2024 merangkumi enam teras utama iaitu pengiktirafan, ilmiah dan kerohanian, sosial dan kemasyarakatan, keusahawanan, seni dan budaya serta sukan.
“Program pertama yang dianjurkan secara kerjasama strategik dengan pihak JAKIM dan JAWI dimulakan dengan aktiviti solat subuh berjemaah bersama warga Wilayah Persekutuan dengan pengisian tazkirah ‘Mensyukuri Nikmat 50 Tahun Wilayah Persekutuan’.
“Seterusnya warga Wilayah Persekutuan menyertai aktiviti Berjalan Sihat@Putrajaya sepanjang 2.5 kilometer dari Dataran Putra ke Dataran Putrajaya,” tulisnya program tersebut bukan sahaja dapat meningkatkan semangat kerohanian malah membolehkan orang ramai mengamalkan gaya hidup sihat.
Aktiviti tersebut turut disertai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar; Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan, Datuk Noridah Abdul Rahim dan Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk TPr Fadlun Mak Ujud.
Tambahnya Showcase Program Usaha Jaya Insan (PUJI) turut diketengahkan dalam memaparkan inisiatif-inisiatif kerajaan untuk golongan miskin tegar dan miskin di Wilayah Persekutuan.
“Ia merangkumi komponen Lindung@PUJI, Insan@PUJI, Sihat@PUJI, Upaya@PUJI, llmu@PUJI dan Infra@PUJI.
“Inisiatif Program Cloud Kitchen juga diperkenalkan di mana ia merupakan kolobrasi strategik Jabatan Wilayah Persekutuan dengan Yayasan Hasanah dan Pepper Labs bagi menambahkan pendapatan ketua isi rumah yang seterusnya menoktahkan miskin tegar di Wilayah Persekutuan melalui pengunaan teknologi ICT,” tulisnya.
Selain itu, JWP dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Perbadanan Putrajaya, Perbadanan Labuan, Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan, Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu dan Majlis Sukan Wilayah Persekutuan telah menyusun 61 program dan aktiviti yang melibatkan komuniti sepanjang tahun ini sempena ulang tahun penubuhan Wilayah Persekutuan yang ke-50.
“Semoga program-program yang disusun ini dapat mengukuhkan rasa sayang dan sense of belonging dalam kalangan warga Wilayah Persekutuan serta memberikan peluang kepada rakyat untuk menghayati dan menghargai kemakmuran dan kejayaan yang telah dikecapi oleh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan,” ujar kenyataan itu. – WILAYAHKU