Selebriti

Siti Nordiana bakal ‘bersanding’ pada konsert perdana Memori Berkasih

- Diterbit 31 Januari 2024 11:53 AM MYT

KECOH dalam kalangan netizen apabila tular foto penyanyi popular Siti Nordiana mengenakan gaun pengantin baru-baru ini.

Sesi fotografi berkenaan seolah-olah memberi isyarat Siti Nordiana atau Nana bakal menamatkan zaman jandanya.

Namun, semuanya terjawab apabila Nana menafikan dirinya akan bernikah dalam masa terdekat, sebaliknya bakal mengadakan konsert perdana Memori Berkasih Siti Nordiana 25 Tahun pada 11 Mei depan di Zepp KL, Kuala Lumpur.

Lebih dua dekad dalam industri seni tanah air, Siti Nordiana atau lebih dikenali sebagai Nana berkata, konsert itu disifatkan sebagai saksi jatuh bangun dalam karier seninya.

“Saya dengan rendah hati memohon maaf jika ada pihak yang salah faham dan menyangka saya akan mendirikan rumah tangga selepas tersebarnya foto berbusana pengantin baru-baru ini.

“Sebenarnya fotografi itu diadakan khusus untuk acara istimewa sepanjang lebih dua dekad saya berkecimpung dalam dunia seni khususnya muzik iaitu Memori Berkasih Siti Nordiana 25 Tahun.

“Memori Berkasih Siti Nordiana 25 Tahun terlalu istimewa buat saya kerana akan menjadi panggung dan ‘pelamin khas’ untuk saya meraikan karier bersama peminat yang tidak pernah berhenti menyokong perjalanan muzik saya selama ini,” katanya pada sidang akhbar majlis pelancaran Memori Berkasih Siti Nordiana 25 Tahun, di Kuala Lumpur, pada Selasa.

Nana dijangka akan menghiburkan penonton dengan lagu yang pernah mengangkat namanya dalam industri seni seperti Bukan Mengungkit Tapi Membangkit, Tak Upaya Menangis Lagi sehingga Satukan Rasa.

Ketika mengulas berkenaan foto tular itu, pihak penganjur Icon Entertainment beranggapan ia merupakan pemasaran strategik selari dengan konsep konsert tersebut.

Menurut penganjur Memori Berkasih Siti Nordiana 25 Tahun, Iman Tang semua yang dilakukan adalah berkaitan menggamit nostalgia.

Sementara itu wakil pihak penganjur Mike Manicka berkata, Nana juga berjaya mencipta nostalgia hingga sukar dilupakan peminat ssekitar tahun 2000.

“Siti Nordiana sendiri telah membuktikan bakat nyanyiannya sejak kecil dan masih relevan terhadap industri sehingga kini.

“Ini juga yang membuat Icon Entertainment mahu menganjurkan Memori Berkasih Siti Nordiana 25 Tahun selepas melihat dia belum pernah melakukan konsert sepanjang kariernya.

“Jadi Icon Entertainment membawa konsep memori atau nostalgia lagu-lagu Siti Nordiana yang penuh dengan kisah cinta dalam Memori Berkasih Siti Nordiana 25 Tahun,” katanya.

Pada malam konsert itu, penonton boleh memakai baju bertemakan memori silam bagi membangkitkan suasana sekali gus ‘larut’ dalam momen tersebut.

Harga tiket bermula RM188 (Paling Comel), RM228 (Memori Berkasih), RM308 (Mainan Cinta), RM4888 (VIP Box, 8 pax per box). Ia boleh dibeli secara dalam talian di www.ticket2u.com.my atau hubungi talian hotline 012 6530 700 (WhatsApp). – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas