Berita

PDRM tidak toleransi sebarang salah laku pegawai, anggota

AZMAN Ahmad
- Diterbit 29 Januari 2024 11:03 AM MYT

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman tidak akan bertoleransi dengan sebarang salah laku oleh mana-mana pegawai dan anggota yang terlibat.

Ia susulan berhubung satu video tular di platform YouTube semalam kira-kira pukul 4.30 petang oleh ‘Tread the globe’ dan lain-lain media sosial mengenai tindakan anggota trafik menyaman dan menawrkan bayaran saman di lokasi kejadian ke atas pasangan warganegara United Kingdom yang dalam edisi jelajah Malaysia.

Pengarahnya Datuk Mohd. Azman Ahmad Sapri berkata pihaknya mengambil maklum akan kejadian yang berlaku dan siasatan terperinci sedang dijalankan bagi menyiasat dakwaan tersebut.

“JSPT menasihatkan agar orang awam untuk tidak membuat sebarang spekulasi tidak tepat dan kepada sesiapa yang mempunyai info berkaitan dengan kejadian ini diminta menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan.

“Orang ramai boleh berbuat demikian di talian bilik gerakan 03-226 63356 atau emel kepada [email protected],” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Mohd. Azman menegaskan, pihak JSPT akan memaklumkan perkembangan siasatan berhubung perkara tersebut dan juga tindakan lanjut yang akan diambil.

Terdahulu, media melaporkan rakaman video berdurasi 50 saat yang dimuat naik di laman sosial X memaparkan pasangan pelancong menaiki sebuah van telah ditahan dan disaman oleh anggota polis trafik akibat kesalahan memandu laju.

Anggota terbabit mendakwa pasangan berkenaan memandu selaju 80 kilometer sejam (km/j), melebihi had laju di laluan itu iaitu 60 km/j lalu mengeluarkan saman.

Bagaimanapun, anggota terbabit menawarkan diskaun saman daripada RM300 menjadi RM100 jika dibayar terus kepadanya.

Menerusi klip video itu, pasangan berkenaan menjelaskan keliru dengan tindakan anggota terbabit namun memilih untuk menerima tawaran diskaun berbanding membuat pembayaran di balai. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas