MAYAT seorang wanita berpakaian lengkap ditemui di pantai Kiansam, semalam.
Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Mohd Hamizi Halim berkata, mangsa yang merupakan warganegara berusia 58 tahun dijumpai oleh orang awam kira-kira 12.30 tengah hari.

Beliau berkata, polis kemudian menjalankan siasatan di tempat kejadian dan mendapati mangsa tinggal di kawasan perumahan berdekatan Skim Penempatan Masyarakat Pelarian (SPMP) Kiansam.
“Siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah terhadap mangsa.
“Mayat dihantar ke Hospital Labuan untuk bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambahnya, kes diklasifikasikan sebagai Mati Mengejut (SDR).
Mohd Hamizi turut menyeru orang awam yang mempunyai maklumat tentang kejadian itu diminta tampil membantu siasatan. – WILAYAHKU