KIRA-KIRA 400 usahawan dalam kalangan peniaga mikro berpendapatan rendah (B40) terpilih menyertai program Penjanaan Pendapatan Mikro kredit dan Keusahawanan anjuran Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) dan Pertubuhan Ikatan Pembangunan Usahawan Malaysia (PIAGAM).
Pengarah Eksekutif YWP, Abdul Rahman Siraj berkata setakat ini program itu mempunyai jumlah keseluruhan dana bernilai RM1 juta untuk memberi peluang kepada peniaga mikro mengembangkan lagi perniagaan mereka.
Tambah Abdul Rahman, program itu juga diharapkan dapat membantu kerajaan dalam usaha mengurangkan kadar kemiskinan di sekitar Wilayah Persekutuan.
“Program ini adalah usaha pihak YWP bagi membantu para peniaga mikro mengembangkan lagi perniagaan mereka dengan cara lebih teratur, selain itu, barangan jualan mereka juga mungkin boleh dijual bukan sahaja ke seluruh negara malah ke seluruh rantau Asia Tenggara.
“Dengan adanya program seperti ini, ia sedikit sebanyak dapat membantu kerajaan bagi mengurangkan kadar kemiskinan tegar yang terdapat di Wilayah Persekutuan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Program Penjanaan Pendapatan Mikro kredit dan Keusahawanan di pusat rekreasi Cheras, Jalan Peel, Kuala Lumpur.
Jelas Abdul Rahman lagi, dana tersebut juga boleh berkembang jika mendapat suntikan daripada kerajaan bersandarkan kelancaran serta pembayaran balik pinjaman para peserta.
“Setakat ini, kita mempunyai dana sebanyak RM1 juta, jadi kalau program berjalan lancar dan pembayaran balik yang baik dari kalangan para peserta saya yakin kita boleh dapat peruntukan lebih besar daripada kerajaan.
“Saya berharap agar para peserta juga boleh menggunakan peluang yang ada ini sebaik mungkin, pihak YWP berusaha membantu segala yang termampu kepada golongan yang kurang berkemampuan,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Abdul Rahman berkata pihaknya memberi pembiayaan kewangan 100 peratus kepada para peserta tanpa perlu mengeluarkan sebarang modal perniagaan.
Selain itu, beliau memberitahu kesemua peserta yang terpilih dinilai terlebih dahulu sebelum dipanggil menyertai program tersebut.
“Kita ada ahli jawatankuasa yang menilai kelayakan mereka, kita faham, peniaga mikro kredit merupakan orang yang kurang berkemampuan, jadi penilaian tidak terlalu sukar buat mereka.
“Walau bagaimanapun, kita nak tengok usaha serta kesungguhan mereka berniaga dan aktif, barulah peluang itu diberikan buat mereka,” katanya.
Terdahulu, turut hadir Timbalan Pengerusi YWP, Datuk Seri TPr Mahadi Che Ngah dan Pengerusi Pertubuhan PIAGAM, Fauziah Mohamed Amin. – WILAYAHKU