DEKORASI kolam interaktif bersaiz 20 kaki bakal menyambut pengunjung di Centre Court Suria KLCC bersempena perayaan Deepavali yang akan disambut pada Ahad ini.
Bertemakan Gemerlapan Taman Cahaya, pengunjung Suria KLCC berpeluang menikmati suasana yang mempesona dengan rekaan taman yang dihiasi bunga-bungaan indah dan hayunan buaian yang pastinya menjadi tarikan untuk merakam detik indah bermula 3 sehingga 15 November 2023.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Suria KLCC Sdn Bhd, Andrew Brien, suasana bakal dimeriahkan lagi dengan hiasan sebuah replika burung merak setinggi tujuh kaki.
“Diilhamkan daripada bunga tiruan serta beras berwarna yang seolah-olah hidup, ekor interaktif sepanjang 32 kaki itu mampu berkembang penuh gemalai dan bergemerlapan mengikut interaksi pengunjung.
“Hiasan berwarna-warni beserta penataan lampu dan kesan bunyi bakal membangkitkan semangat perayaan cahaya ini,” katanya menerusi satu kenyataan media baru-baru ini.
Andrew berkata pada hujung minggu pula para pengunjung bakal disajikan dengan persembahan tarian tradisional kaum India di bahagian tengah pusat beli-belah.
“Pembeli yang membuat pembelian berjumlah RM600 atau lebih dalam dua resit di mana-mana kedai terpilih akan memperoleh e-baucar membeli-belah Suria KLCC bernilai RM50,” ujarnya. – WILAYAHKU