Oleh DIANA AMIR
PARLIMEN Cheras dengan kerjasama Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) memperuntukkan sejumlah RM100,000 bagi membantu keluarga India yang terpilih khususnya dalam kalangan miskin tegar sebagai persediaan bagi menyambut perayaan Deepavali.
Menurut Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai, bantuan tersebut adalah untuk membantu meringankan beban mereka yang terjejas dengan ekonomi kini sekali gus memudahkan persiapan raya dilakukan.
“Kira-kira 500 keluarga terdiri daripada miskin tegar, pelajar sekolah dan pemandu teksi telah dipilih sebagai penerima sumbangan berbentuk e-baucar yang bernilai RM200. Dengan baucar tersebut mereka boleh berbelanja di mana-mana kedai 99 Speedmart bagi membeli barang keperluan.
“Selain itu, program ini juga selaras dengan hasrat kerajaan dalam membasmi miskin tegar di sekitar Wilayah Persekutuan,” katanya kepada Wilayahku sejurus Majlis Penyampaian Bantuan Kasih Deepavali yang diadakan bertempat di Wisma KTC, Kuala Lumpur pada baru-baru ini.
Kok Wai berkata golongan pemandu teksi dipilih memandangkan mereka juga merupakan antara golongan terjejas selepas pandemik COVID-19 melanda negara.
“Seperti kita tahu teksi kurang mendapat permintaan selepas wujudnya Grab sebagai salah satu pesaing tambahan menyebabkan golongan ini sukar untuk mencari makan. Justeru itu, kita berbesar hati untuk turut membantu mereka.
“Selain itu, pelajar sekolah juga turut dipilih bukan sahaja daripada Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil sahaja malah Sekolah Kebangsaan, Sekolah Menengah Kebangsaan dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina turut dipilih,” ujarnya.
Sementara itu, Pengurus Kawasan Parlimen Cheras Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Rozlin Abdullah berkata bantuan ini turut disampaikan oleh parlimen lain di sekitar Kuala Lumpur bagi memastikan golongan berkenaan dapat bersama-sama meraikan sambutan Deepavali pada kali ini.
“Setiap 11 parlimen di Kuala Lumpur telah diperuntukkan untuk sumbangan dan ia disampaikan oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur sendiri.
“Bantuan yang diberikan ini juga berbentuk jangka masa pendek kerana dalam usaha untuk membasmi miskin tegar ia memerlukan satu program panjang serta insentif lain bagi memastikan masalah tersebut betul-betul dapat diatasi,” jelasnya inisiatif seperti ini merupakan langkah yang baik bagi meringankan beban mereka memerlukan serta memastikan perayaan Deepavali dapat disambut dengan meriah. – WILAYAHKU