Berita

Program Jom Kenali Usus Anda: 200 peserta jalani saringan kanser

HIROKI (tiga dari kanan) menyampaikan sijil penghargaan kepada wakil pempamer. Turut sama, Ida Harlina (kiri).
- Diterbit 10 November 2023 1:10 AM MYT

Oleh HAZIRAH HALIM

SERAMAI 200 orang peserta terdiri daripada penduduk sekitar Setiawangsa, Wangsa Maju dan Titiwangsa menyertai Program Jom Kenali Usus Anda yang diadakan di Dewan Serbaguna, Perumahan Awam (PA) Desa Rejang, Setapak, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Kempen kesihatan anjuran pengeluar minuman probiotik terkenal, Yakult Sdn Bhd bersama Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran secara keseluruhan dalam komuniti.

Pengarah Urusan Yakult Malaysia, Hiroki Yanase berkata tujuan utamanya adalah untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan kesihatan usus.

“Ia bagi meningkatkan kesedaran tentang kepentingan kesihatan usus dalam kalangan komuniti yang berusia 45 tahun ke atas di mana mereka lebih berisiko tinggi untuk mendapat kanser kolorektal.

“Usus kita mempunyai pelbagai fungsi termasuklah penghadaman, penyerapan nutrien dan perkumuhan bahan buangan. Oleh itu, usus yang sihat memainkan peranan yang sangat penting untuk kesihatan.

“Tabiat pemakanan yang kurang baik, tekanan, gaya hidup yang tidak sihat, pengambilan ubat-ubatan tertentu dan faktor penuaan boleh mengganggu fungsi usus,” ujarnya ketika ditemui pada Program Jom Kenali Usus Anda, Sabtu lalu.

Tambahnya, perkara tersebut boleh menyebabkan ketidakseimbangan bakteria dalam usus seperti terlalu banyak bakteria jahat atau berbahaya mula membiak.

“Jika dibiarkan tanpa rawatan, ia akan membawa kepada masalah penghadaman seperti cirit-birit, sembelit dan mungkin boleh membawa kepada masalah yang lebih serius seperti kanser,” katanya.

Dalam masa yang sama, beliau turut berterima kasih kepada semua agensi kerajaan dan pempamer atas sokongan yang diberikan serta bantuan untuk pihak Yakult mendekati komuniti berpendapatan rendah (B40).

Antara pempamer yang terlibat adalah daripada Pejabat Kesihatan Daerah Titiwangsa, Majlis Kanser Nasional Malaysia (MAKNA), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Persatuan Suri dan Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM).

Turut hadir, Timbalan Pengurus Besar Jabatan Komuniti, Komunikasi Strategik dan IT YWP, Datin Ida Harlina Ikhwan Nasir yang mewakili Pengarah Eksekutif YWP, Abdul Rahman Siraj.

Bagi mengetahui lebih lanjut mengenai aktiviti Yakult, boleh layari laman sesawang Yakult di www.yakult.com.my. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas