Selera

Tanjung Food Hub syurga penggemar makanan laut

- Diterbit 10 November 2023 2:20 AM MYT

Oleh KHAIRUL IDIN

BAGI sesiapa yang menetap mahupun sedang bercuti di Labuan, anda wajib merasai keenakan masakan laut yang terdapat di Restoran Tanjung Food Hub yang terletak di Kampung Tanjung Aru, Labuan.

Ini kerana, ia menyajikan pelbagai jenis hidangan makanan laut seperti ikan, udang, ketam, sotong yang pastinya segar serta enak dimakan lebih-lebih lagi ketika masih panas.

Bukan itu sahaja, pengunjung juga dapat menikmati hidangan sambil melayan angin sepoi-sepoi memandangkan restoran ini terletak berhampiran dengan laut.

Berkongsi lanjut mengenainya, Nur Aqilah Mohd Ali, 28, yang merupakan pemilik Restoran Tanjung Food Hub berkata lebih 20 jenis makanan laut dihidangkan termasuk masakan barat dan ala thai.

“Antara menu popular yang menjadi pilihan pelanggan adalah tomyam, ikan tiga rasa, stim, sambal serta grilled chicken chop dan pasta.

“Kita juga menyediakan pelbagai jenis pilihan minuman seperti fizzy watermelon, fizzy grape, sparkling traffic light, kopi ais tanjung, thai green tea dan banyak lagi.

NUR AQILAH

“Di sini, kita sediakan makanan mengikut bilangan pelanggan yang hadir tetapi jika pelanggan datang dalam jumlah yang besar dan ramai, kami akan hidangkan mengikut jumlah pelanggan,” katanya harga makanan yang ditawarkan serendah RM7 sehingga RM53 mengikut jenis hidangan.

Bercerita lanjut tentang perniagaannya, Aqilah berkata ia tercetus daripada seleranya merasai makanan barat semasa berada di perantauan dan disebabkan itu tercetus minat untuk membuka perniagaan.

“Sepanjang berada di perantauan, saya seorang yang suka mencuba pelbagai jenis makanan di mana-mana kedai atau restoran. Jadi, pada tahun 2020, apabila kembali semula ke Labuan, saya dapati agak sukar untuk mencari restoran yang menepati cita rasa.

“Bermula itu lah saya berbincang bersama keluarga untuk membuka restoran ini dengan mengetengahkan menu-menu baru dari semasa ke semasa bermula daripada makanan barat, minuman dan sebagainya,” katanya.

Dalam pada itu, Aqilah berkata dia berasa gembira kerana restorannya sentiasa mendapat sambutan daripada penduduk di sekitar Labuan mahupun semenanjung semenjak mula beroperasi.

“Alhamdulillah, sambutan daripada orang ramai sangat menggalakkan dan ia melebihi daripada jangkaan saya, lebih-lebih lagi semenjak ia tular di platform TikTok.

“Sejujurnya saya terbuka mendengar setiap komen daripada pelanggan dan sentiasa memperbaiki kekurangan yang ada demi menjamin kepuasan mereka,” katanya.

Justeru itu, Aqilah mengajak orang ramai khususnya warga Labuan untuk merasai sendiri kenikmatan dan kelazatan hidangan makanan yang disediakan oleh Restoran Tanjung Food Hub. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas