TIDAK mahu anak-anak Putrajaya tercicir daripada mendapat pendidikan yang sempurna, pihak Perbadanan Putrajaya (PPj) mengambil inisiatif menganjurkan sebuah program tuisyen khusus buat pelajar yang bakal menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023.
Menurut Presiden PPj, Datuk TPr Fadlun Mak Ujud, penganjuran Program Tuition Mission Putrajaya adalah bertujuan untuk memberi akses kemudahan pendidikan yang baik buat pelajar-pelajar SPM.
“Dilaksanakan buat julung kalinya pada tahun 2021, penganjurannya membuahkan impak yang positif berdasarkan keputusan SPM tahun 2022 di mana 98.26 peratus peserta daripada Program Tuition Mission Putrajaya 2022 telah layak menerima sijil SPM.
“Pada tahun ini pula, seramai 90 orang pelajar daripada sembilan buah sekolah menengah di Putrajaya telah terpilih sebagai peserta Program Tuition Mission Putrajaya 2023.
“Barisan tenaga pengajar pula terdiri daripada 16 orang guru berpengalaman merangkumi empat subjek teras SPM iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sejarah,” ujarnya kepada Wilayahku.
Fadlun berkata program yang mensasarkan penyertaan pelajar daripada golongan kurang berkemampuan ini turut mengetengahkan objektif utama untuk meningkatkan potensi diri ke arah kecemerlangan lebih holistik.
“Sebelum kelas Tuition Mission Putrajaya 2023 bermula, para peserta program terlebih dahulu akan mengikuti sesi ice breaking dan seterusnya sesi motivasi ‘Perkampungan Ilmu’ dalam usaha meningkatkan keyakinan diri mereka.
“Selain daripada pembelajaran di dalam kelas, PPj juga akan mengadakan aktiviti-aktiviti di luar kelas seperti Explorace Tuition Mission Putrajaya dan Lawatan Menara Gading ke Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta yang terpilih,” tambahnya.
Dalam masa sama, beliau berkata Kelas Tuition Mission Putrajaya akan dilaksanakan secara fizikal berpusat di Kompleks Kejiranan Presint 16.
“Kelas dijadualkan pada hujung minggu setiap bulan bermula pada 22 Julai 2023 sehingga 6 Januari 2024,” ujarnya berharap program tersebut dapat membantu pelajar-pelajar yang akan menghadapi peperiksaan SPM. – WILAYAHKU