SELURUH peminat muzik tanah air tertunggu-tunggu album baharu penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza yang bakal dilancarkan pada 30 Jun ini.
Siti sendiri juga teruja apabila album itu akhirnya bakal menemui peminat.
Namun, di sebalik keterujaan itu, Siti terkilan dengan dua orang individu yang didakwa mempersendakan kulit album terbaharu berjudul Sitism.
Tidak berdiam diri, Siti bertindak mendedahkan nama akaun dua individu itu dalam Instagram Story (IGs) miliknya beberapa jam lalu.
Menerusi hantaran yang sama, Siti turut ‘tag’ akaun IG rasmi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk membuat siasatan bagi memberi pengajaran kepada pemilik dua akaun berkenaan.
“Cantiknya bahasa puan ini @kakwanlebor @bonda_putehkundor
“Kita bagi @skmm_mcmc check kejap,” tulis Siti.
Bukan itu sahaja, dua individu tersebut juga menulis komen berbaur penghinaan apabila mengatakan Siti seperti seorang yang mempunyai masalah mental apabila mengenakan ‘headgear’ sebegitu.
Rata-rata pengguna media sosial menyokong tindakan Siti kerana dua individu itu dilihat tidak bertanggungjawab dan bersifat menghina.
“Kadang-kadang manusia ni kena bagi kesedaran. Kalau dibiarkan lagi melarat perangai buruk tu,” tulis pengguna Instagram.
“Kritik boleh jangan sampai menghina,” komen pengguna media sosial. – WILAYAHKU