PENYANYI Aizat Amdan akui berasa puas apabila kebanyakan lagu-lagu yang dinyanyikannya dapat diterima peminat.
Baru-baru ini, Aizat yang muncul dengan lagu Hadiahkan Duka Kepadamu terharu apabila peminat tetap menerimanya meskipun tidak aktif membuat persembahan seperti dulu.
“Setiap kali mahu menghasilkan produk baharu, ada beberapa perkara bermain dalam fikiran termasuklah pertanyaan, adalah lagu baharu ini akan diterima baik oleh mereka atau tidak.
“Tapi apabila lancar sahaja lagu ini, sambutan yang diterima begitu baik daripada semua pihak. Hilang segala gundah apabila lagu ini mulai disukai oleh peminat dan mula dimainkan oleh stesen radio,” kata Aizat.
Hadiahkan Duka Kepadamu merupakan lagu ciptaan sepenuhnya oleh Ajai.
Lagu berentak balada ini turut dijadikan runut bunyi untuk drama Kerasnya Takdir lakonan Amyra Rosli dan Redza Rosli yang disiarkan melalui slot Akasia, TV3.
“Saya gembira apabila orang mula mengetahui lagu ini sedikit demi sedikit apabila dijadikan lagu tema drama. Ada dalam kalangan peminat yang terkejut apabila mengetahui lagu ini dinyanyikan oleh saya.
“Ada yang beranggapan lagu ini dinyanyikan oleh penyanyi baharu dan tak kurang juga yang jatuh cinta kali pertama mendengarkannya. Semua itu memberikan keterujaan kepada saya,” ungkap penyanyi yang popular dengan lagu Hanya Kau Yang Mampu ini lagi.
Bercerita mengenai kerjasama dengan Ajai pula, memandangkan ini merupakan kali pertama mereka bekerjasama, pastinya banyak perbincangan dilakukan demi memastikan kelancaran proses rakaman selepas itu.
“Pastinya saya teruja memandangkan ini kali pertama kami bekerjasama. Abang Ajai sendiri memang seorang komposer yang berpengalaman luas dan sudah menghasilkan jumlah lagu yang banyak,” tambahnya lagi.
Sebagai info, Hadiahkan Duka Kepadamu merupakan terbitan Inisiatif Seni Kreatif (ISK) dengan kerjasama Alternate Records dan lagu diedarkan oleh Indigital Music.