Fokus

Tingkat usaha promosi industri kraf di mata dunia

|||
- Diterbit 22 Jun 2023 5:55 AM MYT

INDUSTRI kraf tangan negara kini dilihat semakin melonjak naik seiring usaha pihak kerajaan memberi penumpuan untuk memperkasakannya.

Memandangkan ia mendapat perhatian masyarakat dalam mahupun luar negara, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) melalui Kraftangan Malaysia menubuhkan kedai cenderamata, Karyaneka bagi menempatkan produk-produk kraf tangan tempatan yang berkualiti dan inovatif.

Fungsi utamanya adalah untuk memasarkan produk kraf tempatan daripada usahawan kraf seluruh negara selain turut memberi khidmat pembekalan hadiah dan cenderamata korporat kepada badan kerajaan dan swasta termasuk pelancong antarabangsa.

Sejajar misinya untuk memasar dan menggalakkan penggunaan kraf Malaysia di peringkat domestik dan antarabangsa, Karyaneka melalui 10 outlet di seluruh Malaysia menampilkan pelbagai kategori produk seperti batik, songket, anyaman dan ukiran kayu.

Pengurus Pemasaran Karyaneka, Nooraidi Hamzah berkata setiap outlet memfokuskan kepada penjualan dan pemasaran koleksi batik di mana ia telah dikategorikan sebagai peratus jualan tertinggi selaras dengan usaha pihak Kraftangan Malaysia mempromosikan kempen Ini Batik Malaysia.

“Kami juga giat mempromosikan batik bagi menggalakkan lebih ramai menggunakan batik terutama penjawat awam selain dalam masa yang sama membantu usahawan batik memasarkan produk mereka.

“Kategori produk laris adalah batik, cendermata, songket, anyaman dan ukiran kayu,” ujarnya mereka turut menerima kunjungan pelajar sekolah bagi mendedahkan mereka dengan seni kraf tangan.

Nooraidi berkata Karyaneka juga merancang untuk memasarkan produk batik bersiri yang dihasilkan sendiri oleh pereka atau usahawan kraf di bawahnya.

“Selaras dengan hasrat Ketua Setiausaha MOTAC, Datuk Saraya Arbi untuk membawa produk kraf tempatan ke peringkat antarabangsa, maka kita akan berusaha sebaik mungkin untuk meningkatkan industri kraf negara di mata dunia,” katanya kepada Wilayahku.

Outlet baharu di Muzium Negara

Pembukaan cawangan baharu Karyaneka di Muzium Negara pada 16 Jun lalu merupakan usaha berterusan untuk mempromosi dan memasarkan produk kraf daripada usahawan dan komuniti kraf tempatan kepada pengguna seluruh negara termasuk pelancong asing.

Sempena pembukaan ini juga, diskaun sebanyak 10 peratus ditawarkan kepada pelanggan bagi setiap pembelian produk kraf sekurang-kurangnya RM250 bermula 16 sehingga 30 Jun ini.

Selain diskaun, pelanggan juga turut menerima produk mangkuk tingkat (tiffin) secara percuma bagi setiap pembelian produk kraf.

Menurut Noorida, Karyaneka menampilkan pelbagai produk kraf yang autentik dan beridentiti Malaysia bagi segmen produk cenderamata, hiasan dalaman, perhiasan diri, fesyen, tekstil serta hiasan laman dan taman.

“Selain itu, dalam era pengadaptasian teknologi digital, kita juga turut menawarkan tiga platform pembelian alternatif kepada pelanggan secara atas talian tanpa perlu ke outlet fizikal,” ujarnya pelanggan boleh membeli-belah menerusi kedai dalam talian Karyaneka, MyCraftShoppe dan JOURNIFY2U.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas