Berita

Kehadiran Anwar disambut baik, kukuh kerjasama demi rakyat

ANWAR (tengah) ketika hadir ke PAU 2023 Jumaat lalu. Turut kelihatan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (kanan). - Foto: AFIQ HAMBALI/Pejabat Perdana Menteri
- Diterbit 16 Jun 2023 7:15 AM MYT

KEHADIRAN Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyertai Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL) Jumaat lalu membuktikan bahawa UMNO bersedia bergerak seiring dinamika politik semasa dan melakukan transformasi budaya politik yang menyatukan parti-parti demi kepentingan rakyat dan negara.

Penganalisis politik, Dr Syed Agil Assagof berpandangan, kehadiran Anwar dalam PAU 2023 juga memberi spekulasi dan petanda bahawa UMNO harus menjelmakan budaya politik baharu.

“UMNO harus terbuka dan bergerak jauh ke hadapan membina sokongan kuat daripada rakyat dan berusaha keluar daripada kepompong lama.

“Saya percaya dan yakin bahawa dengan wujudnya transformasi politik baharu yang akan dijelmakan nanti, UMNO bersedia berjuang bersama parti-parti lain di negara ini di bawah payung Kerajaan Perpaduan demi kepentingan Melayu tanpa sangsi kepada kaum lain dan sama-sama membina Malaysia yang lebih holistik,” ujar beliau.

Terdahulu, Anwar hadir kembali menjejakkan kaki ke Dewan Merdeka bagi menyertai perhimpunan tersebut buat kali pertama selepas dipecat daripada UMNO pada 1998.

Syed Agil berkata beliau juga percaya UMNO dapat menerima kehadiran Anwar memandangkan kepimpinan beliau dalam UMNO selama lebih 25 tahun lalu merupakan satu aset buat UMNO.

“Anwar sudah lama faham dengan budaya UMNO namun begitu terdapat kecurigaan dalam kalangan sesetengah ahli UMNO yang menganggap penyatuan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan bermaksud mereka terpaksa berkongsi dengan parti-parti komponen yang pada suatu ketika dianggap musuh UMNO seperti DAP.

“Kehadiran Anwar juga membuktikan bahawa UMNO harus berubah dan melakukan transformasi budaya politik yang menyatukan parti-parti politik demi kepentingan rakyat dan negara.

Sebelum ini UMNO dianggap warlord yang menjadi parti unggul dan penentu kejayaan parti itu dalam Pilihan Raya Umum (PRU).

Selain Anwar, turut hadir Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook dan Presiden Parti Warisan Negara (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Sementera itu, turut berkongsi pendirian yang sama, Ketua Pemuda UMNO Wangsa Maju, Muhammad Nasrun Nasaruddin berkata kehadiran Anwar pada PAU 2023 menggamit nostalgia.

“Ibarat sirih pulang ke gagang. Tambahan pula kelihatan beliau memegang bendera sang saka bangsa sambil menyanyikan lagu UMNO adalah sesuatu yang mampu membuatkan para perwakilan tersenyum,” ujarnya UMNO berjaya melahirkan pemimpin-pemimpin hebat yang mampu memimpin negara.

Bagi Ketua Penerangan Wanita UMNO Wilayah Persekutuan, Muzalina Muhamad, kehadiran Anwar memberi signal bahawa segala usaha dan peranan UMNO dalam mewujudkan Kerajaan Perpaduan diiktiraf oleh pihak kerajaan.

“Diharapkan solidariti ini dapat mengutuhkan hubungan kerjasama Kerajaan Perpaduan demi kelangsungan hidup rakyat,” ujarnya yang turut mengakui PAU bukanlah satu medan asing dalam arena politik Perdana Menteri itu. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas