SERAMAI 1,000 atlet lumba basikal tempatan dan seluruh dunia bakal menyertai Pertandingan Lumba Basikal Selangor International Race (SIR) 2023 anjuran Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) yang akan diadakan pada 25 Jun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Datuk Mahmud Abbas berkata acara tersebut diadakan bertujuan untuk mempromosikan pelancongan sukan negeri selain menghimpunkan seluruh komuniti peminat sukan berbasikal dalam dan luar negara untuk merasai pengalaman melihat keindahan landskap dan kepelbagaian warisan budaya negeri Selangor sepanjang laluan perlumbaan.
“Ia juga dilaksanakan sejajar dengan aspirasi PKNS iaitu ‘Membina Kehidupan Yang Lebih Baik’ serta menggalakkan gaya hidup sihat dan aktif dalam kalangan orang ramai.
“Pertandingan ini melibatkan lapan kategori lelaki dan wanita sejauh 145 kilometer (km) dan acara khas melibatkan VIP (kenamaan) sejauh 35 km. Ini menjadi medan tempur nama besar antaranya dari Indonesia, Singapura dan England,” katanya menerusi satu kenyataan media.
Tambah beliau, laluan bermula dan berakhir di ibu pejabat PKNS yang mana peserta akan menempuh laluan rata, beralun serta kawasan lapang selain melalui beberapa lokasi menarik seperti Selangor Fruit Valley.
Dalam masa sama, Mahmud berkata pertandingan julung kali yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan bernilai RM64,000 itu dijangka turut disertai oleh Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah ibni Sultan Sharafuffin Idris Shah.
“Alhamdulillah, SIR mendapat sambutan menggalakkan. Dalam tempoh sebulan dibuka, pendaftaran mencecah lebih 1,000 dan kita terpaksa hadkan kepada 1,000 peserta terawal sahaja. Saya yakin SIR 2023 mampu membawa kejayaan besar dan menjadi batu loncatan kepada acara berbasikal di negeri Selangor pada masa hadapan.
“Berikutan itu kita akan jadikan program sukan ini sebagai acara tahunan. Secara tidak langsung ia dapat mempromosikan PKNS dan negeri ini,” ujarnya terharu serta mengalu-alukan kehadiran peserta antarabangsa yang bakal berhimpun di negeri Selangor sempena perlumbaan bersejarah itu.
Di samping itu, Mahmud turut memperkenalkan barisan penaja utama antaranya Worldwide Holdings Berhad, Kumpulan Hartanah Selangor Berhad, Decathlon, Hutan Ration dan Central Spectrum.
Buat para peminat sukan, anda boleh kunjungi Bangunan Ibu Pejabat PKNS untuk menyertai klinik berbasikal, bengkel dan gerai pameran pada 24 Jun bermula dari pukul 10 pagi hingga 6 petang. Untuk maklumat lanjut tentang acara, sila layari laman sesawang http://selangorrace.com. – WILAYAHKU