PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu semua pihak memberi tumpuan dalam memartabatkan penguasaan bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu dan bahasa rasmi.
Beliau berkata tumpuan perlu diberikan dalam usaha meningkatkan disiplin ilmu supaya negara dapat berlumba dan bersaing seiring negara lain dan ia harus menjadi satu gerakan usaha seluruh masyarakat.
Beliau juga turut menyeru masyarakat memberi tumpuan meningkatkan mutu pendidikan dengan mengutamakan nilai dan akhlak yang baik.
“Negara mampu melahirkan insan yang berilmu, berpendidikan serta berakhlak tinggi melalui amalan prinsip agama, nilai dan akhlak yang diterapkan.
“Yang kita mahu tingkatkan itu adalah manusia dengan keyakinan akhlak dan nilai kerana percubaan di banyak negara sangat berhasil memupukkan nilai dalam pendidikan,” katanya ketika berucap pada Majlis Pementasan Teater ‘Cikgu Anda’ di Hotel Grand Barakah, Ampang, malam tadi.
Pada majlis itu, beliau yang juga merupakan penaung Persatuan Alumni Yayasan Anda Akademik Malaysia (PAYAAM) hadir meluangkan masa menonton kisah yang mengangkat perjuangan dirinya berkaitan sumbangan dalam pendidikan dan sejarah penubuhan Yayasan Anda sekitar tahun 1970-an.
Beliau juga sempat beramah mesra bersama barisan pelakon termasuk penerbit, Datuk Dr Suhaimi Ibrahim, Pengarah, Amran Nasrudin serta orang ramai yang hadir menyaksikan pementasan teater itu.
Terdahulu, teater berdurasi satu jam 30 minit itu adalah anjuran PAYAAM dengan kerjasama Persatuan Melodi Kenangan Artis dan Penggiat Seni Malaysia (PEMEKAR) dan menampilkan barisan pelakon seperti Datuk Ahmad Tarmimi Siregar, Hairi Safwan, Che Mat Raja Lawak, Najwa P.Ramlee, Sarah Fazny, Abon, Mubarak Majid dan Iera Sabariah.
Teater Cikgu Anda ini menceritakan sekumpulan pelajar yang kurang cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta kurang berkemamluan namun nekad menyambung pelajaran ke peringkat Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) di YAA yang diasaskan oleh Cikgu Anwar iaitu tenaga pengajar yayasan berkenaan.
Malah, ia juga berkongsi kesungguhan guru serta yayasan berkenaan mewujudkan modul dan kelas pembelajaran bagi membantu pelajar dari tercicir dan mendapat pendidikan yang lebih tinggi.
Naskah ini diadaptasikan ke pentas untuk mengangkat nama Yayasan Anda Akademik (YAA) iaitu Institusi Pendidikan Swasta yang diasaskan Anwar bersama rakan-rakan siswazah universiti tempatan pada Mac 1971.– WILAYAHKU