Fokus

Lebih 50 spesies flora dan fauna ‘hidup’ di Wetland Studios Putrajaya

NORMAN (dua kiri) ketika Majlis Prapelancaran Wetland Studios baru-baru ini.
- Diterbit 9 Jun 2023 9:15 AM MYT

TERLETAK di Taman Wetland, Presint 13, Putrajaya, taman tema berkonsepkan edutainment itu menawarkan tarikan dan kandungan bertemakan pemuliharaan alam sekitar dan perlindungan hidupan liar yang akan menjadi daya tarikan pelancongan terbaharu kepada pengunjung terutamanya kanak-kanak.

Menurut Presiden Wetland Studios, Datuk Norman Abdul Halim, projek yang dibangunkan hasil kerjasama antara pihak Perbadanan Putrajaya (PPj) dan KRU Studios Sdn Bhd itu juga bertujuan untuk menonjolkan peranan Taman Wetland Putrajaya kepada masyarakat setempat dengan keindahan flora dan faunanya.

NORMAN

“Pada mulanya, kerjasama ini adalah bagi mempromosikan flora dan fauna. Bagaimanapun, kami sarankan agar usaha itu diperluaskan dengan memberi ilmu pengetahuan kepada pelajar, terutama kanak-kanak mengenai pelbagai jenis spesies tumbuhan dan hidupan.

“Topik ini kedengaran agak serius namun kita selitkan elemen hiburan agar informasi yang disampaikan menjadi lebih santai dan menghiburkan memandangkan fungsi Wetland Studios sama seperti di Petrosains dan KidZania yang mengetengahkan konsep pendidikan hiburan sebagai tarikan utama,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Prapelancaran Wetland Studios baru-baru ini.

Istimewanya, Norman memberitahu taman tema dalam bangunan ini menawarkan aneka pengisian yang turut membabitkan watak animasi sebagai tarikan.

“Selain haiwan prasejarah seperti dinosaur serta gajah yang boleh bergerak, orang utan adalah antara hidupan yang diketengahkan. Kami akan letakkan Zan Orangutan daripada filem animasi Kartun Studios sebagai maskot.

“Dalam pada itu, para pengunjung turut berpeluang merasai satu pengalaman yang unik dan berbeza berbanding taman-taman tema sedia ada kerana taman ini akan menyajikan pelbagai jenis informasi serta pengetahuan berkenaan sejarah bumi, peranan penting air serta ekosistem pelbagai hidupan,” ujarnya taman tema tertutup berkenaan turut memanfaatkan kemajuan teknologi seperti hologram, Augmented Reality (AR) serta Virtual Reality (VR) dan juga kandungan digital yang menampilkan pelbagai watak animasi termasuk KiKaKo Kids yang kini di dalam proses penerbitan sebagai siri televisyen.

ANTARA replika haiwan animatronik yang terdapat di Wetland Studios.

Mengulas lanjut, Norman berkata sebelum memperincikan bahan pameran, pihaknya telah melaksanakan penyelidikan menyeluruh terlebih dahulu bagi memastikan taman tema tersebut menepati piawaian pengunjung.

“Kalau boleh, kita tidak mahulah penyampaian ini dibuat secara serius seolah-olah berada dalam bilik darjah. Justeru, penyampaian dibuat secara naratif membabitkan teknologi hologram, animasi dan robotik.

“Selain itu, kami menyediakan karakter animasi yang boleh berinteraksi, sekali gus memudahkan pengunjung mendapat pemahaman saintifik mengenai pelbagai spesies hidupan,” ujar beliau pameran replika haiwan animatronik bersama visual lengkap ini akan menjadi subjek pembelajaran luar kelas yang menyuntik perasaan teruja serta sayangkan alam sekeliling.

KANAK-KANAK kelihatan teruja dengan pameran replika haiwan animatronik bersama visual lengkap yang ditawarkan di Wetland Studios.

Bagi fasa pertama, 12 ruangan kini dibuka iaitu Insectopia, Dinosaur Encounter, Stegodon Big Break, Caventure, Jungle Jive, Sky Sanctuary, Flamingo Parade, Sky Dreams VR, Artopia, Aviary Archive, EduPlay Centre dan Migration in Motion.

FLAMINGO Parade.

WETLAND CAFE BAKAL DIBUKA JULAI

DALAM perkembangan lain, Norman berkata pembikinan filem animasi Zan Orangutan yang dimulakan enam tahun lalu, dijangka akan menemui penonton tahun depan.

“Proses pembikinan animasi ini dimulakan pada tahun 2017. Kami jangka filem animasi ini akan siap pada akhir tahun ini dan menemui penonton pada tahun 2024. Bagaimanapun, kami juga telah membawa ‘snippets’ (sedutan) animasi ini ke Festival Filem Cannes di Perancis bagi tujuan promosi prajualan.

“Tidak dinafikan, animasi terbitan KRU Studios berjaya di luar negara. Kami harap filem ini juga akan menerima tuah sama,” ujar beliau karakter lain turut bakal ditempatkan di Wetland Studios antaranya Ribbit iaitu watak katak amazon yang memudahkan lagi pengunjung kecil mengenali hidupan mamalia, reptilia, amfibia, ikan, burung, pokok dan bunga serta kepentingan air secara mendalam.

Selain itu, Norman juga memberitahu pihaknya berhasrat untuk membuka Wetland Cafe yang akan dilancarkan pada bulan Julai hadapan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas