Berita

PPj anjur Putrajaya Travel Fair 2023 di Angsana Johor Bahru

GLAMPING@WETLAND (GL@W) Putrajaya merupakan antara produk pelancongan yang dibawa.
- Diterbit 9 Jun 2023 8:20 AM MYT

SELEPAS tiga tahun berdepan dengan penularan jangkitan wabak COVID-19, pihak Perbadanan Putrajaya (PPj) meneruskan misi bagi mempromosi produk pelancongan Putrajaya dengan menganjurkan Putrajaya Travel Fair (PTF) 2023 bertempat di Angsana Johor Bahru Mall.

Acara dengan jalinan kerjasama Tourism Malaysia serta rakan-rakan strategik produk pelancongan Putrajaya pada 9 hingga 11 Jun 2023 itu bakal dirasmikan oleh Presiden PPj, Datuk TPr Fadlun Mak Ujud pada 10 Jun.

NORZITA

Menurut Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat PPj, TPr Norzita Abdul Razak, misi jelajah promosi Indahnya Putrajaya Mempesona tersebut adalah salah satu inisiatif Pelan Tindakan Blueprint Pelancongan Putrajaya 2032 untuk menjadikan Putrajaya sebagai destinasi antarabangsa dan domestik mesti lawat (a must visit destination).

“Misi dimulakan untuk memantapkan pasaran domestik selaras dengan sokongan Tourism Malaysia dalam promosi Cuti-Cuti Malaysia.

“Program PTF2023 dimulai dengan sesi jaringan perniagaan yang memasarkan pakej-pakej pelancongan Putrajaya kepada lebih kurang 50 ejen serta syarikat pelancongan dari Johor Bahru, Singapura dan Batam yang hadir dalam sesi Business To Business (B2B) pada 8 Jun.

“Seterusnya, sesi Business To Consumer (B2C) iaitu pameran produk pelancongan PTF2023 akan berlangsung di Angsana Johor Bahru Mall pada 9 hingga 11 Jun,” ujarnya kepada Wilayahku.

Beliau memberitahu antara aktiviti menarik di dalam B2C adalah pembentangan oleh pemilik produk, kuiz mengenai pelancongan, persembahan kebudayaan dan banyak lagi.

Selain itu, Norzita memaklumkan PTF2023 turut dimeriahkan dengan 13 reruai pameran pelancongan yang terdiri daripada Taman Tema Edu-Pelancongan terbaharu iaitu Wetland Studios Putrajaya, GL@W Putrajaya, Putrajaya Lake Recreation Centre, Taman Ekuestrian Putrajaya, Taman Warisan Pertanian, Cruise Tasik Putrajaya, Taman Botani Putrajaya, Galeri Putrajaya Story, Hotel Pulse Grande, Hotel The Everly dan produk-produk di bawah PutraKop.

“Seterusnya turut diketengahkan Putrajaya Community Based Tourism yang merangkumi produkproduk komuniti Putrajaya seperti jualan madu kelulut, gorengan bayam brazil crispy dan jem rock melon serta reruai info tentang tarikan dan produk taman-taman awam Putrajaya,” ujar beliau lebih daripada 50,000 pengunjung sekitar Johor Bahru, Singapura dan Batam dijangka membanjiri reruai pelancongan Putrajaya sepanjang tiga hari penganjuran PTF2023 berlangsung.

Lebih menarik, ujar Norzita, antara promosi yang boleh direbut semasa PTF2023 adalah tawaran potongan harga tiket Cruise Tasik Putrajaya sehingga 40 peratus, baucar aktiviti di GL@W Putrajaya yang bernilai RM100, tiket masuk ke Putrajaya Story serendah RM5, peluang untuk memenangi hadiah menarik beg kuiz pelancongan dan cenderamata yang istimewa daripada PPj serta pelbagai produk pelancongan.

Beliau turut berharap jualan pakej-pakej pelancongan oleh pihaknya akan dibeli oleh semua syarikat travel agent daripada Johor, Singapura dan Batam yang terlibat selain mereka membantu promosi produk-produk pelancongan yang terdapat di Putrajaya.

“Di samping itu, ia sebenarnya merupakan sesi ice breaking kerana pada kebiasaannya orang akan menilai Putrajaya sebagai sebuah pusat pentadbiran kerajaan.

“Mereka tidak tahu ‘the hidden gems’ di sebalik pusat pentadbiran ini rupa-rupanya Putrajaya merupakan sebuah bandar raya terancang yang mempunyai pelbagai produk pelancongan selain mempunyai tarikan yang tersendiri,” tambahnya yang juga berharap PTF2023 dapat menjadikan Putrajaya sebagai sebuah destinasi pelancongan yang popular di peringkat domestik serta antarabangsa.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh layari media sosial PPj di Facebook @Perbadanan Putrajaya, Twitter @putrajayacorp, Instagram, YouTube dan TikTok @perbadananputrajaya serta melalui laman sesawang di www.ppj.gov.my. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas