DEWAN Perniagan Tionghua Labuan (LCCC) akan terus bergerak ke hadapan secara konsisten untuk membantu secara aktif industri pelancongan di pulau itu yang dilihat ketika ini kurang aktif berbanding dahulu.
Menurut Presidennya, Datuk Wong Kii Yii, usaha untuk membantu industri pelancongan di pulau ini adalah susulan kunjungan hormat dewan itu terhadap Menteri Pelancongan Malaysia, Datuk Seri Tiong King Sing di Putrajaya bulan lalu.
“Kami juga mahu membantu organisasi industri pelancongan di pulau ini yang menghadapi masalah. Kemungkinan dapat bekerjasama dengan pihak Perbadanan Labuan untuk membantu pemain industri pelancongan di sini,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Rithuan Mohd Ismail di pejabatnya di Wisma Perbadanan Labuan, baru-baru ini.
Turut sama dalam kunjungan hormat itu, Pengerusi Penggiat Industri Pelancongan Labuan, Tong Poh Tong.
Wong berkata pihaknya bersama Persatuan Penggiat Pelancongan Labuan akan bekerjasama dalam menjayakan apa juga program dan aktiviti yang dijalankan oleh kerajaan berkaitan pelancongan.
“Kami menyedari kerajaan telah melaksanakan pelbagai langkah baharu, namun ia tidak begitu kondusif kepada pembangunan pelancongan menyebabkan industri pelancongan khususnya di Labuan terbantut sekali gus turut memberi kesan kepada semua lapisan masyarakat di pulau ini,” kata beliau.
Jelas beliau lagi, LCCC tidak akan berdiam diri untuk bersama-sama bergerak aktif ke hadapan bagi membantu mendapatkan perhatian daripada kerajaan dan mencari penyelesaian untuk merancakkan industri pelancongan di Labuan. -WILAYAHKU