Utama

Kerja amal sebati dengan Yayasan Wilayah Persekutuan

HASNI (dua dari kanan) bersama artis Ako Mustapha dan Ezlynn dalam misi membantu mangsa banjir di Hulu Langat dan Negeri Sembilan anjuran YWP.
- Diterbit 18 April 2023 2:46 AM MYT

TIDAK semua orang sanggup mengabdikan diri melakukan kerja amal demi masyarakat lebih-lebih lagi ia tidak menjanjikan pulangan yang lumayan.

Pun begitu lain pula dengan prinsip yang disemai dalam hati warga Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) yang meletakkan kerja amal membantu rakyat sebagai keutamaan mereka.

Menurut Eksekutif Usahawan Belia Muda YWP, Wan Noor Hasni Chek Hani, sejak 10 tahun dia berkhidmat dengan YWP, kerja amal dan syarikat tersebut adalah sesuatu yang tidak dapat dipisahkan.

HASNI

“Antara tujuan utama penubuhan YWP itu sendiri adalah untuk kebaikan dan kebajikan rakyat. Apa jua kesusahan dan kesukaran yang dihadapi rakyat terutamanya di Wilayah Persekutuan, itulah menjadi keutamaan.

“Pendek kata, apa yang kami lakukan segalanya untuk masyarakat. Ibaratnya kerja amal ini sudah menjadi ‘darah daging’ YWP.

“Bukan sahaja di Wilayah Persekutuan, malah YWP turut melakukan kerja amal di luar kawasan seperti bantuan mangsa banjir di Kedah, Selangor dan lain-lain,” katanya ketika ditemui Wilayahku.

Hasni juga mengaku sumbangan YWP secara tidak langsung mendidik jiwa pekerja agar sentiasa bersyukur dan peka dengan kesusahan orang lain.

“Selama saya berkhidmat, YWP menjadikan saya seorang yang prihatin, suka mengambil berat kesusahan orang lain dan sering muhasabah diri. “Boleh dikatakan hari-hari kami berfikir untuk membantu rakyat. Setiap jabatan atau bahagian mempunyai peranan masing-masing namun semuanya menjurus kepada keutamaan rakyat.

“Inilah nilai-nilai murni yang sukar kita dapat di tempat lain. Dalam agama Islam sendiri berpesan, golongan baik adalah mereka yang memberi manfaat kepada orang lain,” ujarnya lagi. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas