DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bertindak menggempur dan mengenakan tindakan kompaun ke atas peniaga dan pemilik premis perniagaan di tiga lokasi sekitar ibu kota menerusi Tindakan Khas Parlimen Bukit Bintang.
Dalam satu kenyataan hari ini DBKL memaklumkan, tindakan khas itu diketuai Pengarah Jabatan Penguatkuasaan DBKL, TPj Noor Azman Mahlin dengan kekuatan 300 orang pegawai dan anggota penguat kuasa membabitkan tiga lokasi iaitu di Jalan Silang, Jalan Petaling dan Masjid India.
“Tindakan khas ini membabitkan pemeriksaan terhadap 110 aktiviti premis perniagaan, penjajaan, halangan kaki lima, pengendali dan pembantu warga asing, gerai tanpa lesen, halangan lalulintas, iklan haram, papan tanda tulisan bahasa asing, kekotoran dan lain-lain kesalahan am yang berlaku.
“Hasil Operasi Khas ini, 29 buah premis perniagaan telah diambil tindakan pindah peralatan yang melakukan kesalahan halangan tempat awam, premis dikendalikan warga asing dan 20 penjaja tanpa lesen telah dikenakan tindakan sita barangan termasuk 3 penjaja bukan warganegara,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Selain itu, DBKL turut mengeluarkan 25 notis penguatkuasaan teknikal dan membuat tindakan serta merta meroboh struktur-struktur sambungan di premis perniagaan yang menggantung pelbagai aksesori di lorong, laluan dan jalan awam serta menurunkan iklan dan poster haram sekitar lokasi operasi.
“Sejumlah 29 notis kompaun turut dikeluarkan kepada pemilik premis perniagaan melibatkan pelbagai kesalahan antaranya beroperasi tanpa lesen, menggajikan warga asing, struktur sambungan, halangan tempat awam dan iklan tanpa kebenaran.
“Tindakan tersebut dikenakan dibawah peruntukan Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974, Akta Kerajaan Tempatan 1976, UUK Iklan (WPKL) 1982, UUK Pelesenan Penjaja (WPKL) 2016, UUK Petempatan Makanan (WPKL) 2016 dan UUK Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (WPKL) 2016,” jelasnya.
Dalam operasi itu juga, DBKL turut menunda 12 buah kenderaan, 9 buah motosikal dan mengkompaun 45 buah kenderaan yang membuat pelbagai kesalahan halangan lalulintas menerusi Kaedah Kaedah Lalulintas Jalan 1959 dan Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Kesemua barangan dan peralatan yang disita dipindahkan ke Setor Sitaan DBKL Jalan Lombong Taman Miharja Cheras dan Depoh Kenderaan Ditunda Jalan Pahang untuk rekod penyimpanan sementara dan dokumentasi,” katanya. – WILAYAHKU