Fokus

Simbolik orkid dari 9 negara

- Diterbit 29 Disember 2023 12:20 PM MYT

BUNGA anggerik atau orkid adalah antara keluarga tumbuhan berbunga yang pelbagai dan ditanam meluas di seluruh dunia selain dikenali kerana keindahan dan kepelbagaian bunganya yang menarik perhatian.

Keluarga orkid terdiri daripada lebih 25,000 spesies yang diiktiraf menjadikannya salah satu keluarga tumbuhan berbunga yang paling besar dan ia juga boleh dijumpai hampir di mana-mana di dunia dari kawasan tropika hingga kutub utara serta selatan.

Di Malaysia, terdapat lebih 808 spesies orkid yang unik. Bagi mengetengahkan jenis orkid, hibrid dan koleksi khas, Perbadanan Putrajaya (PPj) menganjurkan Festival Orkid Putrajaya 2023 bertempat di Taman Botani, Presint 1, Putrajaya baru-baru ini.

Menurut Pegawai Pertanian Bahagian Pengurusan Hortikultur, Jabatan Landskap dan Taman PPj, Mariana Abdul Malik antara tarikan khas sepanjang festival adalah pameran orkid dari sembilan negara.

MARIANA (kanan) dan Shazlin antara tulang belakang bagi penganjuran festival

“Dengan bertemakan Pesona Anggerik, kita menghimpunkan 600 pokok dengan penyusunan bunga dari sembilan negara Asia seperti Thailand, Singapura, Indonesia, Brunei, Filipina, Vietnam, Taiwan, Jepun dan juga Malaysia di mana setiap bunga mempunyai sejarahnya tersendiri yang dibawakan khas dari negara tersebut.

“Sebagai contoh Orkid Singapura atau secara rasmi dikenali sebagai Papilionanthe miss joaquim atau Vanda miss joaquim merupakan orkid hibrid dan bunga kebangsaan Singapura.

“Orkid tersebut dipilih pada 15 April 1981 untuk mewakili keunikan dan budaya hibrid Singapura kerana daya tahannya dan bunga ini juga popular serta boleh mekar sepanjang tahun di bawah keadaan matahari penuh yang betul, kelembapan yang tinggi serta pembajaan yang kerap.

BUNGA orkid yang memenangi tempat pertama

“Ia dibiakkan dengan keratan batang dan tumbuh subur dalam campuran media kulit kayu dan bahan organik. Malangnya, terdapat kebimbangan mengenai masa depan orkid Miss joaquim dan usaha sedang dilakukan bagi memelihara serta menjaga orkid ini,” terangnya Orkid Papilionanda yang juga dikenali sebagai Orkid Singapura melambangkan kekayaan biodiversiti dan pencapaian hortikultur negara.

Sementara itu, Orkid Phalaenopsis dari Taiwan dibawa masuk memandangkan ia merupakan salah satu spesies yang paling popular dan ditanam secara meluas di seluruh dunia kerana bunga yang menakjubkan dan senang dijaga.

Turut dikenali sebagai orkid rama-rama, ia ditanam secara besar-besaran di ladang orkid dan tapak semaian khusus di Taiwan memandangkan negara itu juga terkenal dengan teknik dan kepakaran termaju dalam menghibridkan Orkid Phalaenopsis sekali gus menghasilkan pelbagai warna, corak dan saiz.

PAMERAN, pertandingan dan bengkel terarium turut diadakan bagi memperkenalkan seni tersebut kepada orang ramai.

“Selain popular sebagai tumbuhan dalaman, Orkid Phalaenopsis biasanya digunakan dalam jambangan perkahwinan dan sebagai hadiah,” jelasnya daya tarikan dan ketersediaan yang meluas telah menjadikan mereka salah satu spesies orkid yang paling dikenali dan digemari di seluruh dunia.

Beralih ke negara matahari terbit, Mariana berkata Orkid Cymbidium sememangnya popular di Jepun dan mempunyai sejarah penanaman yang panjang di negara ini serta sangat dihormati kerana bunganya yang besar dan menonjol selain digunakan secara meluas dalam gubahan bunga tradisional dan kontemporari.

“Di Jepun, ia dikenali sebagai Sui-ran atau Nagoran dan dihargai kerana kecantikan serta penampilan elegan. Ia sangat popular semasa musim bunga dan luruh. Daunnya yang panjang seperti rumput dan pancang bunga yang tinggi dan tegak datang dalam pelbagai warna selain pelbagai variasi corak dan tekstur berlilin.

“Bukan sahaja ditanam sebagai tumbuhan pasu tetapi juga digunakan secara meluas dalam Ikebana iaitu seni gubahan bunga tradisional Jepun. Bunganya yang tahan lama, warna-warna cerah dan bentuk yang anggun menjadikannya pilihan popular untuk pengamal Ikebana.

“Selain itu, bunga ini juga sangat dihargai sebagai bunga potong dan kerap digunakan dalam pameran bunga, jambangan perkahwinan dan majlis istimewa lain di Jepun,” jelasnya ia sesuai dengan iklim Jepun yang mempunyai perubahan bermusim berbeza.

Mengulas lanjut, Mariana berkata di Thailand pula Orkid Vanda dipandang tinggi kerana kecantikannya yang meriah dan eksotik.

“Ia adalah spesies orkid popular yang ditanam secara meluas dan dikagumi kerana warnanya menakjubkan dan bentuk bunga yang unik manakala di Brunei ia lebih dikenali dengan Orkid Aranda, meskipun ia orkid kacukan popular yang dibangunkan di Singapura tetapi menjadi terkenal dan diusahakan secara meluas di seluruh Asia Tenggara,” katanya.

Beralih ke negara jiran Indonesia, Mariana berkata Orkid Den spathulata yang juga dikenali sebagai Orkid Indonesia adalah spesies asli Indonesia yang terkenal dengan warna-warna cerah dan bentuk yang unik, menjadikannya sumber inspirasi menarik untuk konsep reka bentuk bertemakan negara itu.

Di Filipina pula terdapat spesies Orkid Renanthera yang mempunyai 15 spesies. Ia adalah monopodial yang bermaksud mereka mempunyai tabiat pertumbuhan menegak tanpa pseudobulbs untuk penyimpanan air.

“Saiznya boleh berbeza-beza, dengan sesetengah spesies tumbuh sehingga dua meter tinggi, manakala yang lain hanya beberapa inci panjangnya. Spesies ini lebih suka iklim panas dan lembap dan biasanya ditemui di kawasan yang cuacanya optimum dan paling baik ditanam dalam bakul selat kayu.

“Renanthera philippinensis adalah orkid bersaiz sederhana yang boleh tumbuh di kawasan paya bakau di dataran rendah, mempunyai batang yang tegak hingga separuh terjulur dan daun berkulit dengan cuping yang tidak sama pada puncaknya,” jelasnya spesies tersebut mempunyai keperluan penjagaan yang unik.

Menurut senarai semak yang dikemas kini, Mariana berkata terdapat kira-kira 897 spesies orkid dalam 152 genera yang diketahui berlaku di Vietnam.

“Antaranya adalah Arundina graminifolia iaitu Orkid Terestrial yang mempunyai batang buluh membentuk rumpun besar, tumbuh hingga ketinggian antara 70 sentimeter (cm) dan 2 meter (m), daunnya adalah anyaman dan linear, berbentuk bujur pisau pembedah dengan panjang 9 hingga 19 cm manakala lebar 0.8 hingga 1.5 cm,” katanya.

Akhir sekali, di Malaysia pula mempunyai Orkid Harimau di mana ia merupakan spesies berbunga besar dan jarang ditemui di seluruh Malaysia dan Asia Tenggara.

“Mempunyai rupa bercorak kuning dan coklat terang yang menyerupai harimau, Orkid Harimau atau nama saintifiknya Grammatophyllum speciosum ialah spesies orkid tertinggi di dunia dengan beberapa spesimen mencapai ketinggian lebih 6m.

“Ia berasal dari hutan tropika panas dan lembap di Malaysia, Sumatera dan New Guinea. Spesies ini juga dikenali sebagai Orkid Tebu kerana persamaannya dengan batang tebu, walaupun spesies ini jarang ditemui dalam penanaman kerana saiz dan tabiat pertumbuhannya, ia dihargai secara meluas kerana keindahannya dan terkenal dalam kalangan pengumpul,” ujarnya secara keseluruhan Orkid Harimau mempunyai kepentingan budaya dan hiasan di Malaysia. – WILAYAHKU

(Foto oleh SYUQQREE DAIN, Video oleh HASIF HALIMI)

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas