MASALAH kartel dalam isu melibatkan keterjaminan makanan tidak hanya melibatkan kawalan harga semata-mata atau memberikan kelebihan dan menjaga kepentingan sekelompok pemain industri bahkan ia melibatkan rantaian bekalan sekali gus menjadi ancaman terhadap jaminan bekalan untuk pengguna.
Penganalisis Pasaran dari Firma Kiarafics Consultancy, Nurul Izzatee Md Yusof menegaskan isu kartel yang wujud bukan hanya melibatkan soal dedak semata-mata bahkan lebih banyak isu-isu lain yang menyumbang impak yang lebih besar dan negatif dalam kelestarian industri tersebut terutamanya kepada pemain industri kecil.

Jelas beliau, isu kewujudan kartel dalam industri keterjaminan makanan bukan hanya melibatkan ternakan, bahkan juga terdapat kartel dalam pertanian dan hasil pertanian itu sendiri.
“Hari ini kita kira tindakan pertama kerajaan melalui Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) adalah yang paling berani untuk menangani masalah kartel industri ini.
“Ini seolah-olah satu amaran dan saya yakin ramai yang berharap agar tindakan susulan lainnya lebih tegas, menyeluruh dan lebih berani untuk menangani masalah tersebut yang sebelum ini menjadi duri dalam daging dalam industri,” katanya kepada Wilayahku.
Menurut Nurul Izzatee, menerusi tindakan MyCC yang teleh mengheret lima kartel serta menghukum mereka dengan penalti sehingga RM415 juta, ia diharap dapat memperbaiki ekosistem rantaian bekalan industri ternakan ayam menerusi penetapan semula industri.
“Saya kira perlu ada reset atau penetapan semula kerana antara isu lain yang lebih besar melibatkan kartel atau monopoli dalam industri ini adalah pemonopolian baka ayam oleh kartel sehingga menyebabkan hampir tiada ruang untuk kajian terhadap baka baharu.
“Selain itu pemonopolian bangsa asing di pasar borong besar tempatan mesti dihentikan dan terakhir adalah terma bayaran pasar raya besar yang kebiasaannya mengambil tempoh dari 60 hingga 90 hari yang jelas menekan kebanyakan penternak dan pekebun kecil,” katanya.
Beliau tidak dinafikan kebanyakan penternak dan pekebun kecil mempunyai kadar kebergantungan yang tinggi terhadap kartel untuk mendapatkan dedak bagi ternakan mereka.
“Ia sekali gus tindakan ini berkemungkinan akan menyebabkan berkurangnya kadar bekalan ayam tempatan dan akan mengganggu sedikit pasaran berikutan tindak balas tersebut,” katanya.
Justeru itu katanya, tekanan ini sebenarnya adalah titik tolak kepada situasi akan datang yang lebih baik seperti mewujudkan suasana paksaan kepada kartel untuk lebih telus dalam penetapan harga dedak.
“Ia juga dapat memberi peluang kepada pemain tempatan untuk menghasilkan dedak sendiri secara berskala besar melalui kerjasama universiti tempatan dan syarikat pemula teknologi agro dan memberi peluang kepada permintaan untuk ayam kampung hybrid diterima oleh pasaran umum,” katanya.
Katanya lagi, tekanan ini adalah bersifat sementara melalui tindakan susulan yang lebih tegas serta inisiatif yang lebih mesra-penternak dan pengguna oleh kerajaan dalam menangani masalah ini.
“Kerajaan harus memberi lebih geran bersifat kajian dan perlaksanaan kepada penternak dan syarikat pemula serta universiti bagi menghasilkan dedak tempatan bersifat high yield.
“Selain itu, perlu lebih banyak agensi kewangan milik kerajaan yang mampu menyediakan skim factoring bagi membantu penternak dan pekebun kecil untuk berupaya menghantar hasil mereka ke pasar raya besar tanpa menunggu lebih 60 hingga 90 hari sebelum menerima bayaran dan yang paling utama adalah untuk menghapuskan pemonopolian bangsa asing di pasar-pasar borong utama yang turut menjadi punca bekalan ayam tidak stabil di pasaran,” katanya. – WILAYAHKU