MASJID dan surau di seluruh negara diminta dapat mengadakan solat hajat bagi mendoakan keselamatan dan kesejahteraan untuk negara dan seluruh mangsa yang terjejas banjir.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata pihaknya amat bersimpati dan sedih akan musibah yang menimpa mangsa banjir di beberapa negeri yang terkesan sejak beberapa hari lalu.
“Saya telah mengarahkan agensi-agensi dan seluruh jentera Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa selain turun dan membantu mangsa-mangsa banjir menerusi tabung bantuan sedia ada.
“Saya juga akan bersama agensi-agensi untuk meninjau dan membantu saudara-saudara kita yang terkesan di negeri-negeri terjejas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelas beliau, penghargaan juga dizahirkan kepada para petugas barisan hadapan terutama Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan seluruh agensi yang bertungkus lumus membantu mangsa banjir.
Dalam pada itu, Mohd Na’im akan tiba di Kuala Lumpur hari ini setelah selesai urusan ke Dayah Madani, Acheh, Indonesia bagi memperkukuh kerjasama antara dua negara terutama melibatkan usul Islam dua negara serumpun.
“Lawatan ini telah saya singkatkan, berikutan kejadian banjir yang menimpa rakyat Malaysia,” ujarnya. – WILAYAHKU