MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa telah mengarahkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk melaksanakan tinjauan dan pemantauan berkala terhadap premis-premis perniagaan di sekitar Kuala Lumpur.
Tegasnya, tindakan itu bagi memastikan isu seperti penyewaan lesen perniagaan kepada warga asing tanpa dokumen yang sah dan pengambilan pekerja dalam kalangan PATI dapat dibanteras sebaiknya.
Ujar Zaliha, beliau turut menasihatkan pemilik perniagaan untuk menggunakan saluran betul dalam menggajikan warga asing untuk bekerja di premis masing-masing.
“Semua pemilik premis d Kuala Lumpur dinasihatkan untuk menggunakan saluran yang betul jika berhasrat untuk mengambil pekerja asing dan mengelak dari menggajikan pendatang asing tanpa izin,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Zaliha turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Pasukan Gerakan Am (PGA), Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas tindakan menyerbu dan menangkap PATI di Jalan Silang, Kuala Lumpur dua hari lalu.
Terdahulu, serbuan yang dijalankan di Mini Dhaka itu berjaya menahan 1,101 PATI dan pihak berkuasa telah menjalankan pemeriksaan di salah satu premis di lokasi mendapati warga asing menjalankan perniagaan agensi pelancongan turut menawarkan khidmat klinik persendirian selain pelbagai ubatan dipercayai dari Bangladesh tanpa kelulusan Kementerian Kesihatan (KKM).
Kesemua warga asing yang ditahan itu terdiri daripada warga Bangladesh, Nepal dan Myanmar selepas gagal meloloskan diri dalam kepungan secara mengejut itu telah dibawa ke Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur untuk semakan dokumentasi bagi tindakan lanjut. –WILAYAHKU