CKK

Berhati-hati rai cuti sekolah

- Diterbit 22 Disember 2023 3:40 PM MYT

SEKARANG musim cuti sekolah, bermula 16 Disember lalu sehingga 1 Januari 2024. Tanggal 1 Januari juga bakal membawa fajar tahun baharu 2024 kepada murid-murid dan pelajar serta seluruh rakyat Malaysia.

Kawan-kawan Kedai Kopi percaya seperti kebiasaannya, cuti sekolah adalah masa terbaik untuk ibu bapa membawa anak-anak dan keluarga bersantai merehatkan minda. Kata orang, asyik belajar sahaja pun tidak bagus.
Perlu ada masa untuk berlibur dan bertukar angin.

Sempena cuti, pelbagai tempat pelancongan menjadi tumpuan. Yang ada kemampuan mungkin bercuti ke luar negara. Yang lainnya cukup sekadar mengunjungi tempat menarik dalam negara. Banyak lokasi untuk dilawati di seluruh negara.

Dalam kemeriahan cuti ini, kawan-kawan Kedai Kopi ingin mengingatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati di jalan raya. Ini memandangkan jumlah kenderaan di jalan raya bertambah.

Sangat penting untuk bersabar dan tidak menurut emosi ketika berhadapan dengan kesesakan. Jaga disiplin, elak kejadian tidak diingini. Sudah kerap kali kita mendengar atau membaca berita bagaimana sikap tidak sabar atau panas baran menyebabkan tragedi. Biar lambat asal selamat.

Begitu juga ketika berada di lokasi pelancongan, sentiasa beringat dan menjaga diri. Usah terlalu seronok sehingga lupa menjaga keselamatan diri dan keluarga. Jangan sampai matlamat untuk berhibur dan bergembira bersama keluarga berubah menjadi duka.

Kepada murid dan pelajar, nasihat kawan-kawan Kedai Kopi ialah dalam bergembira usah lupa terus pelajaran. Rajin buat ulang kaji, terutama bagi yang bakal menghadapi peperiksaan seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Bergembira bukan bermakna alpa belajar. Ingat, rajin dan usaha tangga kejayaan.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas