SELAIN memperkenalkan bahan pembelajaran secara digital kepada golongan dewasa dan pelajar-pelajar sekolah, Pustaka KL Digital Madani (PDM) turut mempunyai ruang khusus bagi kanak-kanak berumur dua tahun dan ke atas.
Bersesuaian dengan had umur tersebut, ruangan ini tidak hanya dihiasi dengan gabungan ilustrasi dan warna menarik malah ia juga turut dilengkapi dengan aplikasi educational games yang berbentuk 3D atau Augmented Reality Educational Panel (bahan pembelajaran dalam bentuk AR).
Menariknya di ruangan ini, Ketua Bahagian Pengurusan Perkhidmatan Perpustakaan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Shaharizad Adanan berkata ia menggabungkan dunia nyata dengan elemen digital atau maklumat tambahan kepada kanak-kanak dengan menggunakan teknologi seperti smart interactive table, interactive floor projection dan live colouring book.
“Kita juga wujudkan empat bahagian pembelajaran berbentuk 3D antaranya Ocean World, Dinasour World, Solar System dan Safari World di mana ia akan mengeluarkan bentuk objek tersebut secara 3D beserta penerangan lanjut. Ibu bapa atau penjaga hanya perlu mengambil tablet di kaunter dan imbas gambar tersebut. Pembelajaran seperti ini sangat menarik kerana mereka boleh mengenali dan melihat objek itu bergerak dengan lebih jelas,” katanya.
Selain itu, Shaharizad berkata pihak PDM turut menyediakan floor games di mana ia menampilkan tiga jenis corak lukisan berbeza di mana kanak-kanak boleh mewarna lukisan tersebut dan ia akan mengeluarkan objek yang diwarnakan itu secara 3D.
“Sudut ini juga mempunyai tandas lelaki dan perempuan serta ruangan untuk ibu menukar lampin bayi,” katanya tujuan ruangan ini dibuat adalah untuk menarik perhatian dan memberi pengetahuan baharu kepada kanak-kanak dengan konsep edu-games yang disampaikan. – WILAYAHKU