PUSTAKA KL Digital Madani @ Bandar Sri Permaisuri merupakan sebuah perpustakaan yang berkonsep pusat pembelajaran dan bahan bacaan secara digital yang ditubuhkan menerusi projek tanggungjawab sosial korporat (CSR) Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melalui Perjanjian Deed Of Gift yang ditandatangani pada 29 Januari 2013.
Pembukaan pustaka digital yang merupakan projek ketiga di bawah MRCB selepas membina dua perpustakaan hibrid iaitu Pustaka KL @ Lembah Pantai pada 16 Mac 2015 dan Pustaka KL @ Medan Idaman di Danau Kota pada 21 November 2017.
Pustaka ini disiapkan dan diserahkan kepada pihak DBKL pada 9 Ogos lalu dengan berkonsepkan perpustakaan digital sepenuhnya dan telah mula beroperasi pada 17 Oktober serta dirasmikan oleh Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada 31 Oktober lepas.
Pustaka KL Digital Madani atau nama singkatannya PDM berperanan sebagai sebuah hub informasi yang mendukung pengembangan intelektual pendidikan dan kebudayaan di kawasan sekitar. Ia menyediakan pelbagai akses terbuka kepada koleksi sumber digital seperti e-book, jurnal elektronik dan pangkalan data.
Selain itu, ia juga turut menyediakan pelbagai program latihan dan aktiviti untuk meningkatkan literasi digital dalam kalangan penduduk di Kuala Lumpur dengan berkolaborasi bersama pelbagai agensi.
Jelas terbukti, objetikf PDM adalah untuk menyediakan satu platform maklumat digital yang mampu memanfaatkan semua masyarakat khususnya di Kuala Lumpur dari kanak-kanak sehingga dewasa.
Di samping itu, ia menyediakan akses informasi yang mudah dan bertindak dengan memberi pendedahan kepada pengguna dalam menggunakan teknologi untuk memperoleh maklumat lebih tepat, cepat dan berkesan.
DUNIA KINI BERUBAH
PUSTAKA KL Digital Madani merupakan salah satu perpustakaan di Kuala Lumpur yang dibina dengan kelengkapan perkakasan elektronik, komputer dan talian Internet yang pantas dan mudah.
Dengan perubahan kepada sistem teknologi tersebut, ia dapat meningkatkan layanan, ketersediaan informasi dan respons terhadap perkembangan teknologi informasi yang terus berlanjutan sekali gus mengekalkan relevansi serta menjadi sebuah pusat pembelajaran yang bermanfaat kepada masyarakat.
Berkongsi lanjut mengenainya, Ketua Bahagian Pengurusan Program dan Teknikal, Perpustakaan Kuala Lumpur, Anita Mohd Jali berkata PDM tersebut menyediakan pelbagai platform carian maklumat di mana ia boleh diakses oleh pengguna perpustakaan sama ada untuk pembelajaran, kerja pejabat atau bersantai.

“Penggunaan teknologi pada masa kini amatlah penting terutama dalam carian dan perkongsian maklumat di serata dunia. Kalau tanya pada pustakawan seperti kami, sudah tentu pembacaan secara fizikal adalah lebih seronok berbanding secara digital namun dunia masa kini sudah berubah, segala maklumat boleh diperoleh secara hujung jari sahaja.
“Selama hampir sebulan beroperasi, kami lihat rata-rata pengunjung yang gemar ke sini dalam kalangan anak muda tidak kira pelajar sekolah, universiti mahupun yang sudah bekerja dan mereka juga mengatakan bahawa tempat ini sesuai untuk dijadikan sebagai pusat pembelajaran kerana ia lebih selesa dan tidak sesak.
“Fokus utama kita adalah ingin memberi keselesaan dan perkhidmatan terbaik kepada pengunjung. Justeru itu, perpustakaan ini turut menyediakan 28 unit komputer meja termasuk empat unit iMac, 10 unit iPad dan notebook selain kios paparan elektronik dan panel interaktif,” katanya.
Berkongsi tentang aktiviti, Anita berkata kini PDM sedang melaksanakan kelas tuisyen anak Madani di mana ia merupakan projek kerjasama dengan Yayasan Tuisyen Anak Madani yang memberi peluang kepada anak-anak daripada golongan berpendapatan rendah (B40) menyertainya secara percuma.
“Kelas tuisyen ini melibatkan pelajar sekolah rendah di sekitar kawasan ini dan ia diadakan pada setiap hari Sabtu. Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan lancar dan dalam masa yang sama kita juga merancang untuk mengadakan kelas ke arah ekonomi seperti kelas digital fotografi dan e-marketing untuk usahawan tempatan.
“Kita juga turut menyediakan ruang kanak-kanak yang dilengkapi dengan smart interactive table, interactive floor projection dan live colouring book selain ruang multimedia yang menempatkan Virtual Reality (VR) serta permainan Playstation 5 (PS5) bagi galakan untuk golongan remaja,” katanya pelanggan perlu mendaftar sebagai ahli terlebih dahulu untuk menggunakan perkhidmatan yang disediakan.
Sebagai sebuah perpustakaan yang bertindak memberikan perkhidmatan sepenuhnya secara digital, Pustaka KL Digital Madani dilihat mampu menjadi penaung kepada dunia teknologi atau digital.
Justeru itu, Anita mewakili PDM berharap dengan permulaan perpustakaan yang berkonsepkan digital ini, dapat membantu perkembangan pembelajaran sepanjang hayat dengan berlandaskan teknologi bermaklumat.
“PDM juga sedang merancang untuk menambah baik perkhidmatan dengan menyediakan akses pendidikan yang lebih luas berteraskan teknologi, meningkatkan literasi digital dengan menyediakan pelbagai aktiviti atau program berteraskan teknologi terkini dan moden di samping bekerjasama dengan pelbagai agensi dalam menyediakan bahan rujukan serta program yang berkaitan dengan pendigitalian maklumat,” katanya yang menyasarkan golongan muda dalam penggunaan teknologi tersebut.
Untuk rekod, sejak ia dibuka, seramai 260 orang telah menjadi ahli perpustakaan sepanjang tempoh tersebut dan lebih 1,000 orang telah mengunjunginya. – WILAYAHKU
INFO
Pustaka KL Digital Madani @ Bandar Sri Permaisuri, Jalan Tasik Permaisuri 3, Kuala Lumpur
10 pagi hingga 6.45 petang (Selasa hingga Jumaat) dan 10 pagi hingga 5 petang (Sabtu dan Ahad)
Foto oleh: SHUAIB AYOB