Berita

Tambang percuma OKU untuk semua perkhidmatan Prasarana mulai 1 Feb

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 21 Disember 2023 1:00 PM MYT

SEMUA pemegang kad Orang Kurang Upaya (OKU) bakal menikmati tambang percuma bagi semua perkhidmatan kenderaan awam kendalian Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) mulai 1 Feb 2024, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

Beliau berkata inisiatif itu melibatkan semua perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT), Transit Aliran Ringan (LRT), monorel dan bas Prasarana di sekitar Lembah Klang.

Prasarana, katanya diberi tempoh sebulan untuk melakukan persiapan dan menyelaraskan sistem tiket termasuk pemberian kad konsesi khas kepada pengguna OKU.

“Pengguna hanya perlu mengemukakan kad OKU yang dikeluarkan JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat) dan memohon kad berkenaan.

“Prasarana bersetuju untuk memberikan tambang percuma kepada OKU, walaupun memberi impak kewangan kepada Prasarana. Kemudahan ini sebahagian daripada CSR (tanggungjawab sosial korporat) mereka,” katanya pada sidang media di Stesen MRT Stadium Kajang di sini hari ini. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas