PENYANYI era 80-an Ibnor Riza Ibrahim,62, disahkan meninggal dunia pada pukul 3.30 petang hari ini, di Hospital Canselor Tunku Mukhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (HCTM).
Pemergian Allahyarham Ibnor telah disahkan oleh penyanyi Datin Salwa Abd. Rahman menerusi Instagram miliknya.
“Sahabatku sudah tiada. Semoga arwah tenang dan damai di sana dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman, tulisnya.
Menurut isteri Ibnor Sarimah Sulaiman,51, jenazah akan dikebumikan di Negeri Sembilan.
Terdahulu, pada 2 Disember lalu, Ibnor menjalani pembedahan di HCTM bagi membuang air pada bahagian kanan kepala susulan kanser limfoma dihadapinya sudah merebak ke otak.
Ibnor bagaimanapun tidak sedarkan diri selepas pembedahan dijalankan.
Kemudian, dia sekali lagi menjalani pembedahan susulan kerana ada pendarahan pada bahagian kepalanya Rabu lalu.
Keadaan Ibnor juga masih sama malah Sarimah ketika dihubungi memaklumkan suaminya berada dalam keadaan kritikal.
Sebagai info, Ibnor mulakan kejaya seninya sejak 1984 dengan menyertai pertandingan Bintang RTM.
Allahyarham juga merupakan kakitangan kerajaan namun bersara awal kerana memilih untuk menumpukan perhatian terhadap kerjaya seni pada 1993.
Lagu popularnya Mimpi Tak Sudah dan Berdiri Seorang Perindu membuatkan dirinya diingati meskipun ramai penyanyi datang bersilih ganti. – WILAYAHKU