TIDAK dinafikan kita mempunyai kru-kru di sebalik tabir yang hebat dan boleh dikatakan setanding dengan produksi luar negara namun atas beberapa faktor membuatkan kurangnya filem kita menembusi pasaran antarabangsa,” ujar Pengarah Fotografi (DOP), Mohd Helmi Mohd Yusof, 45.
Berpengalaman lebih 20 tahun dalam industri perfileman, naskhah yang bermutu amat diperlukan dalam memastikan filem yang dihasilkan dapat pergi jauh dan mencipta fenomena tersendiri.
“Sebenarnya banyak sahaja filem Malaysia yang menembusi pasaran luar tetapi mungkin kurang dari segi pendedahan atau liputan merupakan salah satu sebab ia tidak menyerlah,” kongsinya kepada Wilayahku.
Terkini dia bekerjasama dengan pengarah filem, Datuk Afdlin Shauki dalam menjayakan naskhah Harimau Malaya: The Untold Journey untuk menterjemahkan perjalanan pasukan bola sepak negara.
“Saya bangga dengan kejayaan pasukan bola sepak negara yang berjaya melayakkan diri secara merit ke pentas Piala Asia 2023 sekali gus menamatkan badi selepas 42 tahun.
“Setelah bertahun lama, akhirnya kita berjaya mencipta sejarah di bawah kendalian jurulatih baharu dan prestasi Harimau Malaya juga menunjukkan peningkatan daripada sebelumnya di mana ia merupakan satu perkara positif buat perkembangan bola sepak kita.
“Sebahagian besar pasukan yang layak ke Piala Asia juga bermain untuk Piala Dunia dan Malaysia merupakan antara pasukan yang turut bertanding jadi saya boleh katakan ia satu kebanggaan terbesar buat kita. Disebabkan itu juga saya mahu menjadi sebahagian daripada tim produksi yang menggarap sejarah tersebut ke layar perak,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Helmi berkata tim yang terlibat mencuba sedaya upaya dengan meluahkan segala kreativiti untuk filem tersebut dan berharap ia menjadi sebuah naskhah yang baik dan bermakna terutama buat peminat bola sepak.
“Diadaptasi daripada kisah sebenar, cabaran utama sebagai DOP adalah untuk merakam semula babak-babak gol, penalti, tackle dan pemain yang mengalami kecederaan. Setiap babak dan aksi tersebut perlu sama seperti permainan sebenar bagi memberi gambaran serta perasaan yang sama kepada peminat.
“Cabaran sepanjang penggambaran adalah sesuatu yang normal namun apabila ia dilakukan dengan pasukan serta produser yang baik pastinya setiap halangan itu dapat diatasi tambahan pula Afdlin merupakan individu yang kreatif jadi dia sudah mempunyai gambaran mengenai shot yang diinginkan.
“Bola ini bukan hanya pemain semata-mata tetapi ada elemen kemanusiaan di dalam itu kerana semua pihak baik pengurusan keluarga mahupun penyokong memainkan peranan dalam menentukan hala tuju bola sepak negara. Jadi, kita cuba tunjukkan realiti sebenar pemain di dalam padang mahupun luar,” jelasnya.
Berbesar hati dan teruja apabila diberi peluang untuk melibatkan diri di dalam projek tersebut, dia mengakui tidak kekok sama sekali untuk bekerja rapat dengan Afdlin memandangkan mereka telah bekerjasama sejak tahun 2000.
“Kami rapat dan saya juga merupakan DOP yang terlibat dalam kebanyakan filem beliau. Jadi, agak mustahil untuk menolak apabila Afdlin menyatakan hasrat bahawa dia mahu membuat filem lebih-lebih lagi ia adalah naskhah yang hebat.
“Selain itu, kami juga serasi sehinggakan beliau tak perlu bercakap pun apa yang dia mahukan kerana saya faham apa yang diinginkan. Di situ kerja jadi lebih mudah,” kongsinya lagi. – WILAYAHKU
(Foto oleh AMIN FARIJ HASAN, Video oleh HASIF HALIMI)