Berita

PM mahu prestasi cemerlang penjawat awam diteruskan

- Diterbit 11 Disember 2023 11:41 AM MYT

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru penjawat awam meneruskan kecemerlangan prestasi yang ditunjukkan sepanjang tahun ini diteruskan pada tahun depan dengan menerapkan nilai-nilai baik dalam pentadbiran serta tidak mengamalkan budaya selesa.

Beliau mahu nilai-nilai baik yang mendasari konsep Malaysia MADANI hang direncanakannya mampu mengangkat martabat dan darjat negara.

“Kalau kita ada nilai (baik) kita terapkan dalam MADANI, saya yakin kita boleh angkat kerajaan dan hentikan kelemahan lampau.

“Kita bina daripada kekuatan itu dan kita tinggalkan berlebih-lebihan yang berlaku, mudah-mudahan kita tutup labuh tirai 2023 dengan semangat bersama dan membuka lembaran baru sejarah negara,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM) bagi bulan Disember yang terakhir menjelang tahun baharu 2024 di Putrajaya hari ini.

Perdana Menteri turut menyatakan usaha negara untuk menggapai langit bagi mencapai kemajuan dalam beberapa bidang baharu seperti kecerdasan buatan, digital dan tenaga baharu, penjawat awam perlu menjadikan asas agama, akhlak, budaya dan nilai untuk mengakar bumi.

“Sekurang-kurangnya kita dah bagi garis urutan keutamaan bahawa sementara kita menggapai langit… tapi kita harus sentiasa mengakar bumi.

“Yang kita nak mengapai ke langit itu ialah ideliasme baru, perubahan teknologi, digital dan sebagainya, carilah jalan dan ikhtiar supaya kita dapat mengangkat dan kembalikan maruah kepada bangsa dan negara Malaysia tercinta,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas