Berita

Pendengar setia KLfm dijemput hadir Program 50 tahun Solidariti Palestin hari ini

- Diterbit 3 November 2023 6:09 AM MYT

KLfm mengajak orang ramai khususnya warga di sekitar Kuala Lumpur menghadiri Program KLfm 50 tahun #SolidaritiPalestin yang akan diadakan pada malam ini (3 November) bertempat di KL Last Exist, Jalan Pahang, Kuala Lumpur.

Program yang akan bermula pada pukul 8 hingga 11 malam itu dijangka menarik kehadiran lebih 500 orang terdiri daripada pendengar setia stesen radio berkenaan serta masyarakat umum yang prihatin terhadap nasib yang menimpa rakyat Palestin di Semenanjung Gaza.

KLfm berkata, objektif utama program ini adalah untuk memberi kesedaran dan berkongsi informasi tepat dan sahih kepada masyarakat mengenai konflik yang sedang berlaku di negara tersebut.

“Di samping itu, ia diadakan untuk menyatakan sokongan Malaysia kepada perjuangan rakyat Palestin yang kini sedang berada di bawah tekanan rejim Zionis (Israel) termasuk menghebahkan maklumat mengenai tabung kemanusiaan yang dilancarkan bagi membantu meringankan beban penderitaan rakyat Palestin,” katanya program ini juag dianjurkan sempena ulang tahun ke-50 penubuhan KLfm.

Antara pengisian program yang akan diadakan adalah penampilan istimewa aktivis kemanusiaan Palestin iaitu Syed Azwan Syed Ali yang juga merupakan wartawan bebas serta pasangan selebriti adik-beradik iaitu The Helmis, Heliza dan Hazwani yang akan berkongsi pandangan dan pengalaman mereka berkaitan kemelut semasa di Gaza dan Tebing Barat menerusi slot bicawara santai.

“Selain itu, sepanjang program tersebut turut diadakan persembahan muzik menerusi DJ corner, sesi interaksi bersama pengunjung dan orang ramai juga berpeluang membawa pulang hadiah serta cenderahati istimewa daripada KLfm.

“Pendengar boleh mengikuti siaran langsung program ini melalui frekuensi 97.2Mhz bermula pukul 9 hingga 10 malam dan siaran langsung (live streaming) di laman Facebook KLfm.

“Jemputan terbuka kepada semua bagi memeriahkan program sambil mengenang kenangan sempena ulangtahun KLfm yang ke-50 dengan semangat perpaduan dan keprihatinan terhadap Palestin,” jelasnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas