Oleh HAZIRAH HALIM
PERSATUAN Penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kg Baru Air Panas mengadakan Jualan Rahmah bagi membolehkan penduduk di kawasan tersebut mendapatkan barangan keperluan harian dengan harga serendah RM10.
Karnival yang bermula seawal pukul lapan pagi sehingga 12 tengahari pada 24 Oktober lalu itu merupakan kerjasama di antara persatuan penduduk dan FGV Holdings Bhd.
Ia turut mendapat tajaan berupa khemah daripada pengeluar barangan tempatan yang didirikan di tapak permainan di sekitar Jalan Usahawan 6, Setapak, Kuala Lumpur.
Penganjuran tersebut disambut baik oleh penduduk sekali gus mengalu-alukan agar program itu diadakan lebih kerap lagi bagi mengurangkan beban kos sara hidup mereka.
Terdahulu, pada karnival tersebut, penduduk boleh mendapatkan sebotol minyak masak dua kilogram (kg), dua tin susu pekat manis, satu kg gula pasir dan sekotak santan Saji dengan harga RM10 sahaja. – WILAYAHKU