Oleh HAZIRAH HALIM
UMUM mengetahui, penduduk di Semenanjung Gaza kini sedang berdepan dengan penindasan rejim Israel yang bertubi-tubi melakukan serangan dan melepaskan bom tanpa henti sehingga mengakibatkan ribuan penduduk terkorban dan cedera.
Justeru itu, Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) melancarkan Tabung Kemanusiaan Palestin bagi menzahirkan solidariti dan membantu mengurangkan kesengsaraan dan penderitaan rakyat Palestin.
Menurut JWP, tabung itu disediakan buat seluruh warga JWP dan sumbangan yang dilakukan akan disalur ke Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) di bawah seliaan Kementerian Luar Negeri.
“Walau bagaimanapun, mana-mana individu mahupun syarikat korporat, ahli perniagaan serta badan bukan kerajaan (NGO) yang ingin turut serta menyalurkan sumbangan, boleh menyumbang ke akaun AAKRP berkenaan,” jelas JWP.
Sementara itu, perkongsian maklumat di portal Kementerian Luar Negeri menyatakan akaun tersebut ditubuhkan di bawah subseksyen 9 (1) Akta Tatacara Kewangan 1957 [Akta 61] sejak 2002.
Ia ditubuhkan untuk mengumpul, menyelaras dan menyalurkan sumbangan kemanusiaan daripada rakyat Malaysia kepada rakyat Palestin.
Kaedah sumbangan boleh dibuat menerusi nombor akaun 8600302489 (CIMB Bank Berhad) di bawah nama Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin dan mereka yang melakukan sumbangan layak dituntut sebagai potongan cukai pendapatan di bawah Subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967.
Terdahulu, Tabung Kemanusiaan Palestin di bawah JWP telah dilancarkan oleh Ketua Pengarah JWP, Datuk Norida Abdul Rahim.
Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan dan Sosio Ekonomi) JWP, Datuk Parang Abai @ Thomas dan Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Pembangunan) JWP, Ramlee Yatim. – WILAYAHKU