Oleh SABRINA SABRE
ATLET kayak Wilayah Persekutuan, Nurhannan Aiman Sabaruddin, 21, berharap penampilan pertamanya dalam Kejohanan Asian Canoe Polo 2023 akan memberi keputusan positif buat diri dan pasukannya.
“Ia merupakan penampilan pertama saya dalam kejohanan, sudah pasti mahu melakukan sehabis baik seterusnya menyumbang pingat untuk Wilayah Persekutuan, insya-Allah.
“Bagi memastikan momentum terbaik dapat diberikan, latihan giat dilakukan setiap hari kerana perlu memastikan diri betul-betul bersedia terutama dari segi mental. Amat penting bagi saya untuk terus kekal konsisten kerana mental yang sihat membolehkan saya untuk menikmati sesi latihan dengan lebih baik.
“Sukan kayak memerlukan stamina yang tinggi, latihan secara kerap diperlukan bagi mengekalkan momentum prestasi atlet memandangkan tiada sebarang kejohanan disertai sejak negara dilanda pandemik COVID-19 dua tahun lalu,” ujarnya kepada Wilayahku.
Sementara itu, anak keempat daripada enam orang adik-beradik ini juga bercita-cita untuk melayakkan diri bermain di Sukan SEA pada masa akan datang.
“Saya tahu ia bukan mudah tetapi tidak mustahil. Bergelar seorang pemain kayak profesional suatu hari nanti merupakan impian tertinggi sejak berkecimpung dalam sukan ini,” ujarnya.
Dalam masa sama, Nurhannan memberitahu dirinya turut bercita-cita untuk menempa kejayaan bersama skuad kebangsaan di Kejohanan Dunia.
“Bukan itu sahaja, saya juga meletakkan sasaran untuk mengharumkan nama Malaysia di mata dunia. Selagi apa yang dicita-citakan tidak tercapai, saya tidak mahu terlalu cepat meletakkan diri dalam zon selesa. Walau bagaimanapun, sejak kecil lagi saya lihat perjalanan dalam dunia kayak ini mudah,” ujarnya yang mula bergiat aktif sejak berumur 16 tahun.
Pelajar di Universiti Kolej Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) International, Hannan memberitahu dia menyimpan cita-cita untuk bergelar seorang fisioterapi apabila tamat pengajian pada tahun 2024 kelak.
“Sungguhpun mencintai sukan kayak namun saya tidak mahu mengabaikan pelajaran dan menjadikan gelaran atlet sebagai suatu halangan. Itu janji saya pada diri dan keluarga.
“Kalau boleh saya ingin bergelar atlet yang berpendidikan tinggi. Malah besar harapan suatu hari nanti dapat menjadi ahli fisioterapi yang hebat,” ujar anak kelahiran Kuala Lumpur ini. –WILAYAHKU