Oleh HAZIRAH HALIM
DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) merasmikan pembukaan Pustaka KL Digital Madani @ Bandar Sri Permaisuri yang berkonsepkan pusat pembelajaran dan bahan bacaan secara digital, pada Selasa.
Pustaka digital tersebut merupakan projek ketiga di bawah tanggungjawab sosial korporat Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) untuk DBKL melalui perjanjian Deed of Gift yang ditandatangani pada 29 Januari 2013.
Sebelum ini, MRCB membina dua buah perpustakaan hibrid iaitu Pustaka KL@Lembah Pantai pada tahun 2015 dan Pustaka KL@Medan Idaman pada 2017.
Pengarah Eksekutif (Pembangunan Sosioekonomi) DBKL, Ismadi Sakirin berkata, ia menyediakan pelbagai kemudahan antaranya ruang kanak-kanak yang dilengkapi dengan smart interactive table, interactive floor projection dan live colouring book.
“Ia juga turut dilengkapi ruang multimedia yang menempatkan Virtual Reality (VR) serta permainan Playstation 5 (PS5) bagi menggalakkan kunjungan orang ramai khususnya dalam kalangan remaja.
“Selain itu, di ruang dewasa pula, perpustakaan ini menyediakan 28 unit komputer meja termasuk empat unit iMac dan 10 unit iPad serta notebook selain kiosk paparan elektronik dan panel interaktif.
“Dalam masa yang sama, ia juga turut menyokong pembelajaran secara interaktif dan buku-buku, majalah serta akhbar dalam bentuk elektronik termasuklah perkhidmatan dalam talian seperti Buffet@PKL, KLeLIB dan koleksi gambar digital Pustaka KL (PKL),” kata beliau ketika berucap pada Majlis Perasmian Pustaka KL Digital Madani @ Bandar Sri Permaisuri.
Menurut Ismadi, PKL juga merupakan salah satu konsortium dalam projek U-Pustaka yang bekerjasama dengan Perpustakaan Negara Malaysia dengan membekalkan 4,476 buku elektronik melalui OverDrive serta perkhidmatan Pangkalan Data U-Pustaka yang menyedikan lebih 36 pangkalan data.
“Kita juga turut menyediakan aplikasi MyGuru iaitu sebuah aplikasi yang menyediakan nota-nota pembelajaran mengikut sukatan pelajaran terkini dan bank soalan peperiksaan bagi memudahkan para pelajar meningkatkan kefahaman dan ilmu terhadap mata pelajaran.
“Pihak MRCB juga telah berbesar hati menaja beberapa aplikasi berkonsepkan educational games dengan kos sebanyak RM 30,000 bagi menambah koleksi digital di perpustakaan ini,” ujarnya yang berharap kemudahan ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh warga kota khususnya komuniti di kawasan Bandar Tun Razak.
Terdahulu, majlis perasmian disempurnakan oleh Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan turut dihadiri Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin serta Ahli-Ahli Lembaga Penasihat DBKL.
Untuk rekod, Pustaka KL Digital Madani @ Bandar Sri Permaisuri, Cheras, Kuala Lumpur dibuka kepada orang ramai pada 17 Oktober lalu di mana seramai 260 orang telah menjadi ahli perpustakaan dan sepanjang tempoh tersebut, lebih 1,000 orang mengunjunginya. – WILAYAHKU