Berita

Unsur ekstremisme dalam Minggu Solidariti Palestin di sekolah? Ini jawapan KPM

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek
- Diterbit 2 November 2023 10:30 PM MYT

KECOH dalam media sosial apabila beberapa pemimpin dalam kerajaan mendakwa terdapat unsur ekstremisme dalam Minggu Solidariti Palestin di sebuah sekolah.

Maka berduyun-duyunlah komen yang menghentam tindakan pemimpin ini yang berkata lakonan semula pelajar berkisar situasi peperangan di Palestin mengajar tentang ekstremisme kerana penggunaan replika senjata dan sebagainya.

Malah, ada juga yang meninggalkan komen keterlaluan menuduh jika melibatkan agama Islam, semuanya tidak dibenarkan sebaliknya jika agama lain, ia dibolehkan pula.

Enggan membiarkan isu ini terus menjadi pertikaian, maka Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek tampil berkata teguran beberapa pemimpin kerajaan itu adalah untuk kebaikan dan masih dalam siasatan.

“Ia masih dalam siasatan. Kita masih tunggu laporan daripada pihak jabatan untuk memastikan (dakwaan) tetapi saya sudah arahkan dan mesti ada laporan, mestilah menyeluruh sebelum kita ambil apa-apa tindakan,” katanya.

Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, Minggu Solidariti Palestin di sekolah dibuat dalam tempoh yang terhad iaitu dari 29 Oktober hingga 3 November sahaja.

Jelasnya, program sedemikian adalah digalakkan kerana ia penting untuk menanamkan nilai-nilai positif dalam kalangan pelajar.

Bagaimanapun, pihaknya meminta semua pihak di bawah institusi pendidikan agar memberi perhatian penuh kepada garis panduan yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

“Kita tidak kompromi unsur-unsur radikalisme, ekstremisme, keganasan dan replika senjata tidak dibenarkan sama sekali di kawasan sekolah.

“Jadi kita minta semua pihak khususnya yang di bawah institusi untuk berikan perhatian penuh kepada garis panduan yang telah kita keluarkan,” katanya lagi.

Terdahulu, tular rakaman video di media sosial mengenai program di sebuah sekolah yang memaparkan unsur ekstremisme bagi menyatakan sokongan kepada rakyat Palestin.

Namun, KPM mengesahkan video berkenaan dianjurkan di luar tempoh waktu pelaksanaan Minggu Solidariti Palestin dan tidak mengikuti panduan yang ditetapkan pihak KPM. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas