Singgah

Dekati lebih 100 spesies haiwan unik di 99 Wonderland Park

PENGUNJUNG berpeluang berinteraksi dan bergambar secara dekat dengan haiwan-haiwan di 99 Wonderland Park
- Diterbit 2 November 2023 11:35 PM MYT

Oleh DIANA AMIR
Foto oleh SYUQQREE DAIN
Video oleh HASIF HALIMI

KEBIASAANNYA taman tema keluarga akan dibuka pada waktu siang namun berlainan pula bagi 99 Wonderland Park yang dibuka khusus pada waktu malam buat pengunjung yang ingin meluangkan masa bersama keluarga.

Berkonsepkan mini zoo terbuka, taman yang mula beroperasi pada tahun 2018 itu merupakan satu-satunya taman tema di tengah ibu kota yang dibuka sebelah malam.

Menariknya, lokasi wajib singgah di bawah pengurusan JL 99 Group ini menawarkan pengalaman buat pengunjung melihat dengan lebih dekat pelbagai spesies haiwan yang jarang ditemui di negara ini.

Menurut Eksekutif Pemasarannya, Luqmanul Hakim Che Mat, 99 Wonderland Park mempunyai lebih daripada 100 spesies haiwan seperti landak, memerang, tapir, burung unta, buaya, beruang matahari dan pelbagai spesies ular.

LUQMANUL HAKIM

“Kalau di zoo pengunjung hanya boleh melihat haiwan-haiwan ini dari jauh tetapi di sini, mereka dibenarkan untuk membelai, memberi makan dan bergambar bersama-sama.

“Ia sekali gus merupakan peluang terbaik buat kanak-kanak khususnya untuk mengenali habitat haiwan dengan lebih dekat. Meskipun kebanyakannya merupakan haiwan eksotik dan liar namun semuanya telah dijinakkan dan dilatih terlebih dahulu, ujarnya kepada Wilayahku.

Beliau berkata, sebagai pengendali taman tema berkonsep terbuka keselamatan pengunjung amat dititik beratkan bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku.

“Sebagai contoh, burung unta yang terpilih akan dilepaskan untuk berlegar di luar kandang dan pengunjung boleh bergambar atau memberi makan dengan syarat tidak melakukan sebarang provokasi terhadap haiwan tersebut.

“Kami sentiasa peka dengan keselamatan pengunjung, oleh itu di setiap kandang akan terdapat seorang veterinar terlatih untuk memantau keadaan selain membantu menjawab segala persoalan daripada pengunjung mengenai haiwan tersebut,” ujarnya.

Berkongsi lanjut, Luqmanul berkata fokus utama 99 Wonderland Park adalah untuk menjadi destinasi utama taman tema untuk keluarga pada waktu malam.

“Turut ditawarkan pelbagai aktiviti menarik buat pengunjung dari golongan kanak-kanak sehingga dewasa antaranya ferris wheel, paddle boat, kereta api, permainan arked dan lebih menarik, di sebelah malam, kawasan ini akan dilimpahi dengan hiasan lampu berwarna-warni dan menjadi hot spot buat mereka yang suka bergambar,” ujarnya harga tiket juga amat berpatutan dengan apa yang ditawarkan.

Berkongsi mengenai penambahbaikan yang akan dilakukan, dia berkata, pihaknya bercadang membawa lebih banyak spesies haiwan sekali gus bakal meningkatkan tarikan pertunjukan tarian air pancut muzikal yang merupakan antara keistimewaan lokasi tersebut.

“Bagi kesan yang lebih hebat, kami akan menambah kesan api atau visual hologram pada pertunjukan tersebut yang dijangka siap pada tahun hadapan,” ujarnya air pancut terbahagi kepada dua sesi dan memainkan lima buah lagu dalam pelbagai bahasa antaranya Melayu, Tamil dan Cina.

AKTIVITI UNTUK KANAK-KANAK

99 Wonderland Park turut terbuka untuk berkerjasama dengan pihak taska, tadika, sekolah, agensi kerajaan mahupun badan bukan kerajaan (NGO) dalam menganjurkan pelbagai program seperti hari sukan, hari terbuka dan sebagainya.

“Pada bulan September yang lalu, kita telah mengadakan Program Animal Education Day sempena Sambutan Hari Malaysia. Ia merupakan salah satu aktiviti bagus untuk kanak-kanak kerana mereka berpeluang untuk berinteraksi, mengenali habitat haiwan seterusnya meningkatkan keberanian dalam diri.

“Selain dapat meluangkan masa bersama keluarga dan mengenali jenis-jenis haiwan, mereka juga dapat merasai pengalaman pergi ke taman tema di malam hari,” jelasnya yang boleh memuatkan sehingga 10,000 orang dalam satu-satu masa.

Luqmanul turut berharap 99 Wonderland Park akan menjadi lokasi utama oleh pelancong luar khususnya warga kota pada masa akan datang.

“Kami pernah mengalami kejatuhan semasa tempoh pandemik lalu dan saya harapkan dengan bantuan serta sokongan orang ramai dapat menaikkan semula taman tema ini memandangkan lokasi ini menawarkan pelbagai pengalaman menarik buat semua golongan dari kanak-kanak hingga dewasa,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas